Friday, September 16, 2011

MENARA TELEKOBUNIKASI.

.


Dia bukan aku. Aku bukan Jonifoxfot.

Jam 4 pagi tadi, kedai telefon yang hari ini kepentingannya melebihi kedai yang menjual nasi dan ikan keli mahupun kedai yang menjual biskut keras dan pampes (lampin pakai buang), sudah mula sibuk. Pintu-pintu telah dibuka dan lampu terang dihidupkan suisnya. Pamplet ditabur-tabur-bur-bur supaya orang yang lalu-lalang terpanggil untuk 'bersarapan'. Kata kuncinya mudah. Selalunya, kata kuncinya cuma satu perkataan sahaja dan diletakkan tanda soal dihujung perkataan. Contohnya, "Sihat?" atau selalunya, "Boleh aku bercakap dengan kau?". Tanda soal menjadi titik tolak daya penarik.

Dan pejalan kaki yang lalu-lalang, tidak putus-putus membuka menutup mulut dengan berskala kecil untuk berdoa supaya pagi mereka, tiada eksiden dan luka-luka. Petang nanti, mereka ingin memetik butang telefon. Dan menelefon.

Kedai telefon pagi ini menawarkan khidmat terbaru dan tercanggih. Khidmat terbaru dan tercanggihnya berbunyi begini. "Barang siapa yang bercakap dengan suara lemah lembut dan tersusun madahnya dan tidak menipu dan berdolak dalik, akan ditawarkan untuk menandatangani satu perjanjian yang memerlukan tandatangan." Satu perjanjian yang memerlukan tandatangan berdakwat hitam puteh itu pula dikatakan mempunya syarat yang berbunyi begini.

"Hendaklah pemohon bersedia menghadapi segala ke-sulit-lapang-an dengan bijak. Jikalau ada kolam yang berfirana garang, dan perlu diseberangi, perlulah dia bertindak bijak dengan membunuh firana-firana garang tersebut (dengan apa cara dan apa kudrat sekalipun) dahulu sebelum menyeberang. Jikalau dia meredah firana-firana garang tersebut dan kembali bersama luka besar dan serius dan kehilangan anggota-anggota utama, dia akan ditolak kembali ke dalam kolam yang berfirana garang. Dan dia akan ketemu mati laju-laju. Maka jikalau pula ada pohon tinggi yang yang syaratnya memerlukan dia untuk memetik pucuk muda menjadi penghalang untuk dia berjalan terus, hendaklah dia mengasah kapak yang ada di dalam poket dan memutuskan urat-urat nyawa pangkal batang pohon tersebut hingga tumbang ke arah mata angin yang berlawanan dengannya. Dan kutiplah pucuk mudanya. Tetapi jikalau dia tidak menggunakan kapak, sebaliknya memanjat pohon tersebut untuk memetik pucuk muda. Kebarangkalian untuk tersingkir, amat tinggi sekali. Dan dia akan ketemu mati laju-laju. Kerjasama dan usaha. Anda mampu."

Pokok pangkalnya, "This is hard. Really hard." Kata Jonifoxfot yakni seorang pelancong British yang berjalan melintasi kedai telefon dan bercakap seorang diri berslanga seperti Won-Won. Dia berlalu dan membuang pamplet yang berteraburan itu ke dalam tong kitar semula. Seraya menekan telefon pintarnya dan dia hilang. Poof. Telefonnya ada aplikasi telepot. Mungkin..

Dan lagi sekali seperti se-awal tadi, dia bukan aku. Aku bukan Jonifoxfot. Aku ialah binaan, sebuah menara telekobunikasi.

.

3 comments:

puding roti said...

terasa macam baca kobun=kebun kemudian terbayang-bayang pokok ubi :)

fatah85 said...

mungkin sebab part kutip pucuknya.

Afe Oth said...

jonifoxfotmotmot.