Sunday, April 22, 2012

TAZKIRAH MALAM KETIKA MATARI USAI MANDI.

.

Saya ada sekeping teknologi yang membolehkan saya berhubung silaturahim, bercakap, berlari dan membaca berita tentang alam, politik dan kamera. Macam-macam saya boleh buat. Walaupun tidak secanggih Ifon (gambar epal), tapi syukurlah. Itu yang ada. Itu yang perlu dijaga dan disyukuri. Yang kita ada, kita kena jaga dan syukur. Manusia memang termaktub dalam sifat semulajadinya dengan "rasa tidak cukup". Yang sudah ada, mahu ditambah lagi. Berbalik kepada tujuan asal penulisan kali ini, saya harap ia tidak panjang, meleret dan merapu, sehingga pada akhir noktah, cuma saya yang faham dan mampu hadam. Setidak-tidaknya, saya berharap, ada lah juga seorang dua yang mampu cerna dan berfikir kembali tentang apa yang saya tuliskan.

Saya pernah merasa serba cukup. Dan pernah merasa serba serbi tidak cukup. Apabila merasa serba cukup, tiada apa yang mampu menghalang saya daripada tidur dan rileks. Tenang. Semua bagi saya sudah tersedia dan lengkap. Mudah. Saya cuma perlu bangun dari tempat saya duduk dan menikmatinya. Apa apa sahaja. Makanan, filem, pengangkutan, bahan bacaan, bahan ketawa, wang untuk membeli barang dan jus jus manis. Semua ada. Ada saya ucap syukur? Ada tapi jarang. Kadang. Ketika solat, terlepas makna. Selepas solat, tiada masa. Adakah bila tidak mengucapkan syukur, saya jauh dari Tuhan? Jawabnya, iya, tepat sekali. Saya jauh bagaikan jauhnya rumah api di tengah ombak laut daripada padang pasir tempat unta berlari. Adakah bila saya jauh dari Tuhan, Tuhan juga jauh dari saya? Jawabnya, tidak, salah sama sekali. Tuhan Maha Penyayang dan suka hambanya yang bertaubat. Jadi bagaimana?

Bagaimana Tuhan masih ada ketika saya melupakannya dan hanya tidur dan makan dan menikmati hari sesedapnya seperti menikmati ceri dan laici? Saya pun tidak tahu. Dia Maha Pengampun pula. Maha pula Mendengar. Maha Melihat. Semua. Sembilan puluh sembilan nama Agungnya, saya teliti mendengarkan makna. Dia Yang Latif. Maha Pelembut. Dia Yang Pengampun. Ya Ghaffar. Maha Pengkabul. Ya Mujib. Dia Maha Segala-Galanya yang datang dari zat-zat yang Agung. Tidak terlawan. Jadi bagaimana Dia masih menerima saya sebagai hidupan yang dibenarkan hidup hingga hari ini dan mampu menulis menggunakan indera yang diberi sehingga noktah ini. Jawabnya dia Maha Pengasih. Apakah rahsiaNya yang membenarkan saya hidup dan merasa kesenangan bernafas? Jawabnya dia Maha Melindungi Semua Makhluk. Dan adakah salah jika saya mempersoalkan ini? Rasanya tidak kerana bagi saya, apa yang Dia beri ialah satu kebesaran yang perlu saya jaga supaya tidak mati dimakan faktor racun berbisa dalam hari hari biasa.

Siapa ketua? Saya atau Dia? Jawabnya Dia. Umum tahu. Tetapi mengapa saya berlagak seperti ketua? Tidur sesuka masa. Berdoa sekejap sahaja. Makan tidak ingat lusa. Bercakap ikut suka bahasa. Berfikir sambil berfoya-foya. Salah siapa? Mahu saya salahkan syaitan, tak juga. Kerana saya lebih berhak atas diri saya sendiri. Jadi salah siapa? Saya lah. Kerana merasakan semua ini satu pencukupan. Saya jadi begini. Bila jadi begini, saya mula rasa, saya perlu gagal dan mula kembali. Jadi ianya betul terjadi. Saya mula gagal dan perlu kembali. Saya sengaja terbalikkan ayat. Perlu gagal menjadi mula gagal. Mula kembali menjadi perlu kembali. Ianya ayat sama. Tetapi, isi dalamnya berbeza. Seperti saya sekarang. Masih saya, tetapi isi dalamnya perlu berbeza.

Saya ingat tadi, Afe memberi peringatan ringkas sebelum tibanya maghrib, selepas saya memetik kelapa. Katanya, Sunnah yang dituntut ada tujuh. Biar saya tulis kembali di sini sebagai bukti saya ingat dan cuba mempraktikkannya sebagai satu permulaan baru untuk esok. Yang pertama, Solat sunat tahajjud. Yang kedua, membaca Al-Quran sebelum matari bangkit. Ketiga, sentiasa berwuduk. Keempat, sentiasa mengucapkan Istighfar. Kelima, meringankan tangan memberi sedekah. Keenam, solat sunat dhuha dilakukan. Yang terakhir, hadir ke masjid tika Subuh.

Jadi, tiada alasan lagi untuk saya tidak mengucapkan syukur. Berbalik kepada perenggan pertama. Alhamdulillah, saya ada telefon yang canggih.


.

No comments: