.
Kita kena akui, yang di dalam hidup ini, kita bergantungan. Kita memerlukan satu sama lain. Tidak dapat tidak, kita kena akui itu. Keperluan yang asas untuk hidup seperti udara, api, air dan tanah itu tidak menjadi persoalan. Itu hal Tuhan. Tiada persoalan banyak dan mungkin menjadi hilang persoalan berjuta kerana hal-hal seperti syurga, neraka dan hal hal esok lusa, sememangnya boleh dipikir, tetapi tidak mampu dicapai pikirnya sampai bila-bila kerana mereka ghaib.
Keperluan hidup yang kau dapat beri (dan terima) dan aku mampu terima (dan beri), itulah keperluan yang bergantungan. Hal ini termasuk di dalam semua segi bahagian kehidupan. Contohnya, kita kembali kepada perkara asas seperti makan, minum dan pakai. Makan aku mungkin tidak mencukupi suatu hari nanti. Mungkin esok aku akan kebuluran kerana ketiadaan zat penting seperti kalsium, pigmen hitam di rambut dan protin. Mungkin juga esok, kenaikan harga barang menjadi semakin mendadak dan aku kekeringan wang dan ketandusan akan makanan. Jadi selain pada Tuhan, pada siapa lagi aku akan berharap selain kau? Kita bergantungan. Mungkin esok wajahku akan cengkung dan kulitku akan berhabuk bila digaru kerana kekurangan air dalam badan. Tiada langsung simpanan di dalam botol atau di dalam peti es. Kedai semua tutup dan bankrap. Lori lori es terbalik di tepi tepi jalan besar kerana rusuhan penduduk yang mahukan air. Menteri separa gila kerana rakyat mula naik kepala. Ketika paip dan sungai tidak lagi mengalirkan air, pada siapa aku ingin meminta permohonan untuk menghilangkan dahaga dalam dada dan menghidupkan kembali organ aku yang semakin mengecut selain pada Tuhan, dan kau? Kita bergantungan.
Kita memerlukan. Bukan sahaja pada hal asas seperti di atas, tetapi pada hal hal lain juga. Berjuta segi dan segenap isi. Dan 'budi' ialah keperluan yang paling kita perlu. Kita membutuhkan budi. Budi bukan objek. Ia merupakan salah satu pengantara dan penjalin antara aku, kau dan Tuhan. Budi ada pada setiap daripada kita. Menjadi mujarab apabila kita melepaskannya dengan senang seperti melepaskan merpati pada pagi mana mana upacara aman. Kebergantungan budi sesama kita, akan menjamin kita untuk lebih hidup di sini dan akan datang. Andai kata kau memberikan aku sebekas makanan dan setadah tangan air untuk melunaskan lapar aku, sudah pasti aku akan merasa kenyang yang sementara. Tidak lama. Di sebalik sebekas makanan dan setadah tangan air tadi, budi ada di belakangnya. Walaupun akan datang satu masa nanti, aku mampu untuk membalas kembali pemberian makanan dan air dari kau, aku sesekali tidak dapat membalas budi yang kau beri. Kerana budi melampaui setiap materi, maka ianya tidak akan terbalas.
Secubit roti yang kau beri datang bersama segunung budi terpacak di sisi.
Budi bukan hutang. Budi tiada had macam hutang. Budi tiada perjanjian. Budi tak nampak. Bukan benda solid. Bukan juga sesuatu yang perlu diharapkan balasan. Jika hutang, ia perlu dibayar mengikut sebanyak mana aku berhutang. Tetapi budi tidak. Sebanyak mana aku memberi atau aku diberi, tidak perlu aku membayarnya dan memikirkan sebanyak mana pemberian atau penerimaan aku. Ini boleh dicapai jika aku betul betul merasa yang Tuhan itu ada.
.
No comments:
Post a Comment