Bas yang akan membawa aku ke Seksyen Dua itu berhenti ketika aku masih berjalan ke arah pondok bas yang saban hari semakin comot kerana banyak bertampal dengan iklan iklan. Majoritinya iklan sewa kereta. Banyak sungguh sehinggakan aku tidak dapat meneka, apakah warna asal tiang pondok bas itu.
Kereta ini harganya ini. Kereta itu harganya itu. Yang mampu dan punya berduit berkepuk-kepuk dalam seluar poket (Maryam gemar), boleh lah membeli sebuah dua. Yang tidak mampu dan kurang berduit, boleh lah menyewa. Hakikatnya, mampu atau tidak, hidup di sini, penutupnya mampu. Yang menentukan baik buruk kemampuan, diri sendiri. Syaitan jangan disalahkan kerana jika sekali syaitan disalahkan, kau akan terus menggemuk dengan kesalahan.
Jam 2.40, aku sedang meneguk teh sejuk. Sekeliling aku panas.
Duduk di universiti sebangsa, kalau tidak ada di dalam kepala otak yang kau ingin berganjak, kau akan mati terlentang. Kalau tidak terfikir untuk berganjak langsung dan berlagak cerdik, kau akan mati terlentang dan digilis trelar dua puluh tayar. Kalau sudah terpaut dalam kesenangan dan kekenyangan dan terus tidur, bukan sekadar mati terlentang dan digilis trelar dua puluh tayar, malah kau akan dibakar oleh kau sendiri. Tulang belulang yang panas akan merekah. Seperti tulang oracle. Tapi malang, ketika mati dibakar, kau sudah terlambat untuk menafsir.
Jam 3.56, aku selesai membeli satu buah pendirve berharga 26 ringgit.
Bas nampaknya tidak penuh. Aku mahu berdiri kerana hari Ahad aku kosong tidak terisi. Jadi aku berdiri. Kalau ada ayah di sebelah, pasti dia menyuruh aku duduk kerana risaukan anaknya penat. Kalau ada ibu di sebelah, pasti dia suruh duduk kerana risaukan anaknya lenguh. Akan datang, kalau ada isteri di sebelah, pasti juga dia suruh duduk kerana risaukan hero utamanya penat. Berpeluh. Sekejap sahaja aku berdiri. Kerana teringatkan kalau kalau kalau tadi, aku pun duduk. Menyelesakan punggung di atas kerusi di dalam bas, pinpin, bas pun maju.
Bas ber goyang goyang ke kiri dan kanan. Bila dia membrek, aku mengeraskan lutut agar badan tidak ke hadapan. Bila dia maju, aku melembutkan belakang supaya aku dapat bersandar tanpa menggunakan tenaga.
Ahh. Aku gembira betul bila waktu aku makan Ais Batu Campur yang manis sirapnya bukan main dan ada ber puluh puluh warna tiruan tadi. Pertama, kerana aku baru sedar yang blog tempat aku menaip sekarang ini, punya aplikasi di dalam telefon. Pertama kali aku menaip panjang menggunakan telefon. Sebelum ini apabila aku mahu menaip dalam blog menggunakan telefon, entah mengapa tiada keluar hurufnya. Agaknya, dia sama gila dengan kibod aku di bilik.
Lama aku tidak menaip. Otak aku sarat. Terbeban. Hampir tiris dengan bermacam macam hal yang ingin aku tulis. Hal hal agama seperti persoalan apabila sujud, yang bahagian mana turun dahulu, hal politik aku tidak reti menulis. Cuma reti baca. Hal wang. Hal buku. Hal 'Smackdown'. Hal Brown yang semerbak wangi. Hal makanan. Hal lagu. Hal kerja. Hal belajar. Paling banyak, hal untuk ke musium-musium seperti Musium Mainan Pollock di London.
Jam 4.12. Orang tidak surut surut di kedai makan. Aku tarik nafas. Lepas nafas. Lagu dangdut dung dung dung kuat beralun. Aku yakin, andai sekejap lagi azan Asar, lagu dangdut ini sikitpun tak akan mengalah. Malah semakin rancak. Bicara tentang kedai makan, percayalah, yang makanan di rantau sememanjung ini semakin hilang ke aslian nya. Mana tidaknya. Tukang masaknya bangla. Tukang airnya nepal. Tukang lapnya indon. Tukang kaunternya myanmar. Kalau.dilihatkan, orang melayu hanya mampu makan. Jadi di sini, aku bertekad untuk pandai memasak. Mana lah tahu, jikalau nanti Parti Beri Biru (PBB) jatuh tergolek ke dalam longkang.di tepi pasar Paroi, orang asing akan dihantar pulang oleh Parti Orang Muda (POM). Ketika itu, tiada lagi tukang tukang Melayu yang mahir kecuali aku. Kalau begitulah jadinya, aku akan menjadi kaya lebih kaya daripada Pakcik Taib.
Azan asar. Jam 4.20.
Hari makin petang. Aku tidak suka berhimpit dengan orang asing. Kerana di badan orang asing, ada jin asing. Mungkin ada juga makhluk asing atau Orcs yang jijik yang tipu tipu menjadi manusia. Aku kena pulang kerana aku ingin bersiap sedia untuk menunggu Subuh matahari terbit di bawah sana dan mengucapkan selamat pagi kepada penghuni rumah agam. Somewhere di Virginia.
No comments:
Post a Comment