Saturday, November 10, 2012

SAYA BERBOTOL POP BERSAMA PEROMPAK DAN MERPATI.

.

Ketika dalam perjalanan pulang daripada membeli sebotol minuman ringan, saya ternampak kelibat seorang perompak. Pantas saya mengelaskannya sebagai perompak kerana dia bertopeng menutupi seluruh kepalanya, dan dia memegang guni yang ada simbol gah dolar, '$'. Dia dalam keadaan tergesa gesa. Kakinya terhincut hincut dan saya nampak, kasutnya menyeret satu kesan yang berkilat. Tercetus di dalam otak saya mengatakan yang orang itu sebetulnya perompak, baru selesai merompak, dan ditembak kakinya oleh polis atau perompak lain yang kemungkinan belot padanya ketika berjanji dan merompak bersama sama. Jadi, sebab itu dia terhincut hincut dan menyeret kesan berkilat.

Saya dahaga ketika itu, jadi saya pun membuka botol minuman. "Poppp". Ada keluar bunyi "pop" kesan daripada rebutan rangkaian gas gas yang ingin bebas dari dalam botol minuman. Kesian sekali mereka terkurung. Tidak bebas ke sana ke mari. Dan ketika "pop" berbunyi, saya dengan bangganya, mengangkat diri saya sebagai pembebas gas gas yang terkurung dan sebagai pembela hak hak gas yang di padam oleh iklan minuman ringan yang menggiurkan.

Gulp gulp gulpp...

Dalam beberapa pecahan saat, dia yang saya kata perompak tadi, yang nampak dari jauh terhincut hincut, semakin menumbang mencium kaki susur pejalan kaki. Bersama guninya yang ada simbol dolar '$', dia terguling terbaring. Badannya menggelupur seperti menahan kesakitan yang tak terhingga. Saya terlalu kaget seraya terlepas botol minuman ringan daripada genggaman tangan. Mata saya terpaku pada guninya yang bergerak gerak. Seperti ada hidupan yang ingin melepaskan diri dari dalam guni $. Tidak berfikir dua kali, saya berlari ke arahnya yang sudah tidak menggelepar. Saya mengambil guni $ nya dan membuka ikatan.

Lalu bertaburlah terbang anak anak merpati putih yang sudah cukup umur. Semuanya melepaskan diri dan terbang pergi. Naik ke atas langit yang gelap gelap muda.

"Berhenti. Kamu yang memegang guni itu, meniarap di tanah atau kami akan melepaskan tembakan."

Ada banyak suara keras dari arah belakang saya, saya jadi takut. Diikuti derapan kasut kasut dan siren polis, bertambahlah takut saya. Saya tidak melawan. Saya meniarap. Hinggalah datang berlari seorang pegawai polis, menggari kasar tangan saya dengan gari besi berkilat lalu berkata,

"Awak dan mayat kawan awak, akan ditahan kerana cuba mencipta ke amanan dengan cara mencuri merpati daripada sangkar besi kerajaan."




(habis)

.

No comments: