*
Hari-hari yang lepas, Tiki si tupai boleh mencari makanan dengan suka hati. Di pohon hijau ada buah kecil warna merah. Ada zat-zat penting terkandung di dalam buah kecil yang mampu melebat dan mengilatkan bulu Tiki. Malah, tenaganya juga bertambah jika dia memakan buah kecil warna merah. Melompat ke sana ke mari bukanlah satu masalah besar baginya. Cakap sahajalah pohon apa di sekelilingnya dalam jejari yang tidak jauh, semuanya sudah dia jejakkan kaki. Malah, Tiki cukup kenal dengan jiranan sekelilingnya. Berapa bini jiran sana, berapa anak jiran situ, berapa gaji jiran sana dan di mana kampung jiran sini. Semua Tiki tahu. Hidup Tiki permai.
Hari ini tidak seperti hari-hari yang lepas. Tiki semakin hari semakin tidak bermaya. Jejirannya ramai yang sudah bermigrasi. Ada yang sempat sampai, ramai juga yang mati. Buah kecil warna merah di pohon hijau semakin berkurang. Daunnya juga semakin membotak. Rantingnya alahai semakin rapuh. Batangnya pula semakin kering. Tiki tiada rumah lagi. Bulu Tiki tidak lebat lagi. Anak dan isteri yang tidak pernah dibincangkan sebelum ini kerana masalah peribadi Tiki bersama isterinya, juga sudah tidak ada kerana dipanggil Tuhan akibat kekurangan zat-zat penting. Tiki dalam keadaan yang sangat kritikal. Tiada ubat, tiada dokter. Tiki baring lesu dan memandang langit kelabu.
Petang tadi, ketika Tiki menunggu malaikat untuk menjemputnya pulang dan menghantarnya ke taman surga (dengan harapan untuk ketemu isterinya untuk meminta maaf dan mendukung anak-anakya), Tiki terbau akan sebiji buah yang tiada di negaranya Malaysia. Dia yang semakin mengurus hingga menampakkan rusuk kiri dan kanan, pantas memandang ke tanah hijau. Ada sebiji buah berwarna jingga di tanah hijau. Tiki gembira bukan kepalang dan berlari turun perlahan-lahan kerana jelas sekali reranting yang rapuh tidak menjamin keselamatannya.
"Buah jingga bulat seperti tomato dan berkulit licin dan di atasnya ada daun hijau kasar"
Seperti itulah yang Tiki cari di laman carian "Yeehaa" menggunakan iPhone Ten+Ten nya. Internet hari ini begitu laju. Sekelip mata, gambar jingga terpapar pada skrin telefon canggihnya. Ternyata, buah yang di atas tanah di hadapannya, bukan datang dari Malaysia. Mengikut imbasan bacaanya yang sekejap, buah itu seperti seperti datang daripada Korea yang sejuk dan tertulis di "Yeehaa", buah jingga ini ternyata tidak beracun untuk di makan. Tiki yakin sejuta per seratus.
Tiki tidak berfikir panjang dan melulu makan. Sedap sedap dan sedap. Rangup. Manis dan berlemak. Dia makan sendiri-sendiri. Tiada burung yang ingin berebut. Tiada jiran yang ingin merampas. Tiada kucing yang mengganggu. Tiki gelojoh kesedapan. Buah jingga sedap sekali. Seperti buah dari surga katanya. Bulunya seraya melebat. Badannya menggemuk sehat dan rusuk kiri dan kanannya, semakin tenggelam dek isi. Petang itu, dia merasa kasih daripada Tuhannya.
iPhone Ten+Ten Tiki bergetar.
"Abang. Semoga abang sehat sejahtera. Timi sudah memaafkan dosa abang yang dulu. Buah jingga itu Timi campak dari surga dengan kebenaran penjaga penjaga. Timi sudah salutkan dengan dua puluh lapis racun manis supaya abang segera sampai ke sini menemani Timi dan anak-anak."
Di hujung telefon, ada pantun.
Kasih Timi dahaga,
Jiwa Timi beku,
Buah dari surga,
Cepat temani daku.
Tiki terdiam. Matanya memandang pohon besar yang berbuah merah kecil. Melihatkan telefon dan pantun tadi, dia menekan punat "Off".
Tuhan, Tiki sudah bersedia untuk bersatu dengan Timi.
Baca portal kini,
Menteri sakit gigi,
Tiki datang kini,
Timi jangan pergi.
*
No comments:
Post a Comment