Tuesday, May 14, 2013

SEPERSALINAN JUBAH.


Daripada pemerhatian yang paling mudah, pada kebiasaannya, sepersalinan jubah yang digabungkan dengan bunyi caklempong atau gamelan saya pun tidak pasti, akan menjadi satu upacara yang besar dan sesak. Upacara ini diberi nama, ‘Upacara Penghargaan Kepada Diri Sendiri’ atau dalam bahasa orang ramai, disebut konv-oke-syen. Jika di Malaysia, upacara ini sungguh memanaskan dan dipenuhi musik gamelan atau caklempong dung dang deng dong. Jika di tempat lain, saya tidaklah tahu. Saya tidak betah untuk ngomong. Noktah.

Upacara penghargaan ini berkait rapat dengan maruah dan tidak boleh tidak, wajib dibanggakan oleh setiap penerima dan wewaris penerima. Seperti rapatnya mata apabila pejam dalam lena tika malam dan seperti bangganya dunia apabila ada manusia yang berhasil memijak bulan dan malambai tangan dari sana. Begitulah rapatnya upacara ini dengan maruah. Maruah ini apa? Mengikut bahasa mudahnya pula, maruah ini ibarat seguni tabik yang kita pikul di belakang kita setiap hari. Jika guni ini tiris atau bocor, maka tabiknya mengurang. Jatuh satu satu seperti bendera parti tepi jalan yang masih tidak dibuang. Jika pula guniini  diikat kemas dan sentiasa dipikul gagah, maka tabiknya tetap padat. Ini lah maruah.

 Jarang ada upacara yang berkait dengan maruah kecuali upacara konvokesyen dan upacara perkahwinan. Itu sahaja. Jikalau kedua-dua upacara ini dibandingkan dengan upacara lain seperti  upacara berkhatan, sambutan besday, majlis naik pangkat, memotong jambul atau rumah terbuka sempena hari raya dan lain-lain, masih lah juga tidak terbanding akan ketinggian letaknya maruah apabila kedua upacara ini dijalankan. Hendak tidak hendak, kita perlu menerima, yang ‘Upacara Penghargaan Kepada Diri Sendiri’ ini, tinggi nilai pembawaannya dan wajib dihargai setiap detik dalam melaluinya.

Dari tingkap bilik yang jarang dimasuki angin sejuk, saya duduk memerhati orang lalu lalang seperti semut menuju ke arah gula tumpah sambil makan karipap kentang. Orang yang saya perhati, semuanya berjubah, bertopi yang atasnya rata dan ber-ekor juntai, dan mempunyai senyuman yang paling lebar pada hari ini, minggu ini, tahun ini dan satu-satunya bumi ini. Jelas daripada semua ciri-ciri yang saya sebut, mereka ialah orang terpillih yang telah melalui upacara yang gemilang yang ada bunyi gamelan atau caklempong dung dang deng dong saya tidak tahu. Ini di Malaysia. Di kawasan tempat saya belajar. Di tempat lain saya tidak tahu. Dot.

Kita ini, tidak boleh dibandingkan dengan binatang ternak kerana kita manusia terhormat yang diangkat darjatnya tinggi oleh Tuhan Yang Maha Tinggi. Tetapi, sekali sekala, jikalau saya ingin melanggar pemikiran yang biasa dan turun ke tahap yang paling rendah dalam diri manusia dan membandingkan diri kita atau lebih mudah dan selesa, jika saya membandingkan diri saya sendiri dengan binatang ternak, apa salahnya. Apa salahnya. Kan?

Beginilah, andai kata saya ini seekor kambing jantan dewasa. Berjanggut. Memakan rumput. Tidak gemar apabila terkunyah pohon cili yang berdaun panas. Tinggal di kampung yang kepadatannya kurang. Andai kata saya seekor kambing, saya juga membesar. Saya juga belajar ABC dengan cara saya. Saya juga belajar kalkulus dengan silabus saya. Saya juga berzikir dan bersolat dengan cara saya. Saya juga mandi walau jarang. Saya juga mengambil peperiksaan dengan bertarung sesama jantan lain untuk merebut kawasan ragut menunjukkan lagak kepada bakal isteri. Saya juga bertanggungjawab sebagai suami (jika sudah punya isteri iaitu kambing betina) dan bertanggungjawab sekaligus sebagai bapak.

Kalau diikutkan semua ini, kita tak jauh berbeza. Kan? Saya kambing, awak kambing. Tetapi, hujah manusia akan terus bergerak begini apabila saya kata begini.

“Kau tiada akal”.

Dan mungkin saya akan dikatakan gila, insane, nonsense dan apa lagi entah.

Keras dan ‘solid’.

Hujah sebegini tepat lah sekali. Ia datang dari Tuhan. Tiada apa yang tepat selain hujah ini. Paling tepat dan tidak terpesong walau sedikit nanometer. Tetapi, sebagai manusia, hujah ini perlu dilembutkan sedikit untuk mengurangkan rasa kecil hati saya sebagai seekor kambing. Saya sebagai seekor kambing juga masih makhluk Tuhan yang ada hati, limpa dan paru. Jadi beginilah, walaupun saya tidak berakal dan tidak mungkin akan memakai jubah dan tidak juga lah akan melangsungkan perkahwinan yang serba meriah seperti manusia, tetapi saya tetap akan melalui fasa hidup yang sama seperti kalian. Yang akhirnya,pun sama.

Dung dang deng dong. Bunyi caklempong atau gamelan, saya masih tidaklah tahu. Yang saya tahu, waktu sekarang, semakin bertambahlah mereka yang akan pulang dari sini dan sana bersama sepersalinan jubah yang gah. Bunyian daripada tingkap bilik yang mula dimasuki angin sejuk, sedikit sebanyak mengejutkan saya. Amboi  enak sungguh.

Tahniah dan Syabas kepada mereka yang berjubah. Di dalam atau di luar negara.


* Gambar bertajuk "Buang Aku" bertarikh 12.12.12. 


.


No comments: