
Setiap manusia yang bernyawa pastinya ada impian, harapan, kemahuan dan macam-macam lagilah. Setiap manusia yang bernyawa juga perlukan satu tempat yang amat-amat dan teramat BESAR untuk bergantung dan memohon dalam mencapai segala impian mereka. Setiap manusia yang bernyawa perlukan ini, itu, dan kalau sudah dapat ini, mahu itu pula dan begitulah sebaliknya dan terus berpusing-pusing atas nama kehidupan manusia yang bertamadun yang selalu tersadung..
Dan aku jugalah si manusia itu yang ada impian, harapan, kemahuan dan macam-macam lagilah. Tiap-tiap hari aku menadahkan tangan memohon doa dimakbulkan, mohon rezeki dimurahkan, mohon jiwa dibersihkan, mohon dosa dihapuskan, mohon rupa diserikan, mohon urusan dipermudahkan, mohon badan disihatkan, mohon negara diamankan dan mohon bumi tanpa serangan, tapi, hati tidak sekali berdoa . .
Dan aku jugalah si manusia itu yang ada impian, harapan, kemahuan dan macam-macam lagilah. Aku selalu tangiskan dosa-dosa aku, tapi kesudahannya berulang seperti permulaan juga. Hari-hari begitu. Sama. Bagai hidup ini lama panjangnya. Terasa hati kecil untuk berubah kerana malu akanNya, malu akan pesuruhNya dan konco-koncoNya. Tapi, selalunya, aku akan bertuhankan nafsu dan menjadi hamba pada nafsu dan bukan padaNya. Aku malu.
Dan aku jugalah si manusia itu yang ada impian, harapan, kemahuan dan macam-macam lagilah. Aku tak mahu terus begini ya tuhan. Aku lemah, bodoh, hina, ‘lampi’, dan segala cercaan hanya padaku bila aku melanggar dusturMu. Ya tuhan, aku tahu kau maha mendengar,
pintaku ketika ini hanya satu, Ampunkan aku ya tuhan. Aku mohon. Aku rayu. Aku melutut. Aku sujud.
Andai aku punya wilmana, aku mahu terbang ke sana . . Iye, ke sana.. nun di sana. Di mana di sana itu? Di sana lah. Aku nak terbang jauh sampai hilang gelap pekat likat dosa-dosa dulu. Akan aku bawa sekali warkah dustur-dustur Nya agar tidak lagi aku terus berpusing-pusing atas nama kehidupan manusia yang bertamadun yang selalu tersadung.
Dan aku jugalah si manusia itu yang ada impian, harapan, kemahuan dan macam-macam lagilah. Begitulah aku.
Kepada pembaca yang selalu rasa dirinya hina berdosa, anggaplah sebagai kata ganti diri ‘aku’ itu merujuk pada ‘kamu’. Moga-moga perubahan ‘aku’ dan ‘kamu’ berkekalan.
No comments:
Post a Comment