Thursday, June 05, 2008

Pasar dan Harapan .

Hari cerah. Terdetik rasa dalam hati nak ikut mak ke pasar besar seremban. Mak nak beli ikan, bawang, sayur dan macam-macam lagi perkakas dapur yang menjadi penyambung kehidupan di rumah. Setibanya di pasar, bau hanyir ikan dan masam kelapa parut menusuk ke dalam rongga hidung dan segala genap rongga lagi. Busuk sungguh. Tapi bila difikirkan balik, bau busuk itu pun sumbernya dari benda yang aku makan, seperti ikan, lembu, santan, sayur dan bermacam-macam lagi lah..


Sibuk sungguh sibuk. Pening pula aku dibuatnya. Mana tak nya, sebelah kiri sebut sawi, sebelah kanan sebut tenggiri, sebelah depan jerit kangkung, sebelah belakang tempik kembung. Hahaha. Pening campur kelakar. Tengok nenek yang tua-tua berjalan menawar-nawar harga barang, makcik-makcik yang kiri kanan tangannya penuh dengan plastik merah oren, tak kurang juga pakcik-pakcik tua yang duduk melepak sambil menghisap rokok dengan gaya penuh nikmat . . Aku hanya membuntuti mak. Mak beli barang, aku jadi pengangkat sampai berurat lengan kerna berat bebarang. Tapi, sebab memikirkan jasa mak yang lebih "berurat lengannya" kerna menjaga aku selama lapan belas tahun, lenguh aku yang sebentar tu pun aku lupakan..hmm..

Haa, pada dasarnya, aku tulis ini sebab aku lihat, dalam pasar itu semuanya cina, hanya dua atau tiga peniaga melayu dan mereka yang bernama melayu ini hanya menjual keropok dan ikan bilis sedangkan peniaga cina menjual sayur segar hijau, buah merah ranum dan ikan segar lagi berkilat sisiknya. Situasi ini membuatkan aku terfikir dan memandang dua kali ke arah "signboard" besar di luar. "Signboard" itu tulis, "pasar besar seremban", bukannya "pasar besar cina seremban". . Jadi, di mana peniaga Melayu? ?.

Penat aku berfikir sambil berjalan, aku pun terfikir pula, kalaulah semua cina yang dalam pasar itu berhenti berniaga, mungkin penduduk sekitar seremban akan lapar dan akhirnya mati kebuluran kerna kekurangan zat makanan. . Hahahaha. Bunyi macam lawak, tapi serius ni.

Akhirnya, habis sudah mak aku membelanjakan wangnya untuk membeli perkakas dapur yang menjadi penyambung kehidupan di rumah. Aku pun berjalan beriringan ke kereta yang panas di bawah mentari yang berpayungkan pohon angsana besar, dan mak terus menghidupkan enjin dan pergi. Aku bawa sekali cetusan fikiran bersama bau-bau yang pelbagai tanpa disedari oleh emak dan satu harapan aku tinggalkan di pasar. Harapan lagar lebih ramai melayu menjual sayur segar dan ikan berkilat di pasar seremban .. . .







No comments: