Friday, May 22, 2009

Bicara Pembesar-Pembesar Melayu . (1)

Maka terjadilah satu perbincangan antara pembesar-pembesar Melayu yang bergeliga lagi mantap pemikirannya. Berkumpul mereka di bawah satu bumbung lalu berkatalah seorang demi seorang. Ilmu-ilmu dan zat-zat Tuhan mereka puji-puji. Desir-desir angin yang meniup daun-daun kering di jalan turut berzikir mengingati Tuhan Maha Kuasa. Malam menyelimuti alam. Suara pembesar-pembesar memecah kesunyian berbincang antara satu sama lain. Pelita-pelita terang seperti khusyuk mendengar sekali perbincangan itu. Apinya meliang-lentok. Menggoda.

Permulaan kata dimulakan. Khusyuk. Semua khusyuk. Mata dan telinga pasang. Mulut dan tangan diam. Berkisar tentang pergaulan ceritanya. Katanya, jiwa-jiwa anak muda mudah bergolak, jaga pergaulan, maka terjagalah diri. Jaga diri jangan sampai makan diri dan sampai ke taman api abadi. Katanya senang difahami. Ayatnya mudah. Disangkutnya pula hujahnya dengan ayat dari kitab suci Al-Quran. Pembesar-pembesar memuji-muji. Tenang. Faham. Bercerita beberapa pembesar di tepi-tepi, bagai ada pendapat mahu diberi. Pembesar kedua bercerita tentang ilmu. Ceritanya akan cara mencari ilmu. Ceritanya akan cara mensyukuri ilmu. Ceritanya akan hubungan diri sama Tuhan bila bertapa. Dia bukanlah pertapa, cuma ilmunya seakan ilmu pertapa. Bercerita lagi beberapa pembesar di tepi-tepi, bagai ada pendapat mahu diberi.

Berhenti seketika. Lantai dipandang, mencari buah fikir. Terlintas. Malam maghrib makin larut menuju isyak. Perbincangan diteruskan.

Ingat-mengingat itu penting. Manusia itu pelupa dan kitalah manusia itu. Bicara pembesar seterusnya. Ringkas tapi berisi kepada yang kosong. Bercerita pula pembesar ke berapa entah tentang hidup apabila belayar. Mencari destinasi itu penting, tapi, di mana darat yang terdekat lebih penting. Amat penting semasa belayar akan kelasi-kelasi untuk melihat darat terdekat sekali. Befikir lagi pembesar-pembesar akan kebenaran kata-kata pembesar ke berapa yang selama jarang sekali membuka peti katanya. Serah tugas kepada pembesar berbaju melayu lengkap. Berkopiah. Kemas. Ceritanya tentang fadhilat Al-Fatihah. Pembuka kitab suci. Tinggi ilmunya memberi bekas kepada mereka yang kurang tahu. Ceritanya juga tentang keberkatan. Berkat akarnya.

Berhenti seketika. Jendela dipandang, mencari buah fikir. Terlintas. Isyak pasti menjengah. Perbincangan diteruskan.

Pembesar berkopiah berbadan kurus melidi membuka mulut. Silaturrahim isinya. Ringkas dan menambahkukuhkan semangat sejagat antara pembesar-pembesar sesama Melayu dan Islam. Solat jemaah disentuh pembesar seterusnya. Apa cerita jika surau sendiri jadi kosong dengan sendiri?. Bersoal lagi sesama pembesar. Masing-masing bersalah. Masing-masing terkena. Masing-masing beristighfar. Masing-masing bertekad. Ditambah pula bicara kata dari pembesar daerah timur. Pembesar patut ajak jelata bersolat sekali. Hidayah dan taufik perlukan kita untuk disempurnakan. Agama suku, bangsa suku. Itu isi hujahnya. Pangkalnya kukuh. Melayu tidak semestinya Islam dan Islam tidak semestinya Melayu. Bersongkok itu Melayu, seluar senteng paras lutut bukan Islam. Senang contonhnya. Gabungan pembesar daerah timur sedikit berkisar akan penghormatan sesama agama. Kata-kata dari kita mencerminkan agama dan itu contoh kepada bukan Islam. Senang. Pembesar terakhir membuka peti suara. Pencabulan kebudayaan. Isinya menyeluruh. Tidak padan dengan badannya yang kecil, nampak lemah, tapi, isi hujahnya bagai raksasa. Bernas. Katanya, "Budaya bukanlah sesuatu yang meruntuhkan akhlak". Noktah. Noktah di situ. Semua terpinga berfikir benar dan pegang kejap kata-katanya.

Berhenti seketika. Pintu luar dipandang, mencari masa penutup. Azan melintas. Isyak menjengah. Perbincangan habis dengan senang. Ilmu segenap benua diserap dalam-dalam oleh pembesar-pembesar. Bercerita lagi beberapa pembesar di tepi-tepi, bagai ada pendapat mahu diberi, tapi, sudah tamat. Minggu depan pasti ada lagi.

Azan mendayu, cengkerik tidak berhenti bermunajat. Pokok-pokok tidak berhenti mengibarkan daun-daun kecil di bawah jamung tinggi. Cahaya menembusi daun-daun. Cantik. Solat didirikan. Usai, pembesar-pembesar keluar, bersalaman, mencari makan, menelaah ilmu alam. Akhir, masing-masing keluar ke daerah sendiri, tempat pertapaan sendiri, masing-masing.

--------------------tamat---------------------------

4 comments:

air effects said...

cerita realiti penuh imaginasi.

KIBA kline said...

indah nya ayat ayat pembesar2 tue.
huhu..
jom sholat jumaat..
dgr pembesar masjid lak..
hehe

Anonymous said...

'Bersongkok itu Melayu, seluar senteng paras lutut bukan Islam..'

ha, itulah yg kita cari tu..

a gud post..
berkias penuh makna..

KIBA kline said...

fatah cam ne nk buat blog ade 3 part eh?
kanan, tengah, kiri..