Saturday, May 08, 2010

YANG BAGAI GRAF COSINE

00044



Saya diajar melukis graf cosine, tapi saya tidak diajar untuk berhenti melukis. Graf cosine berbentuk alun alun seperti huruf es yang berbaring lesu. Alun alun nya buat saya asyik. Melukisnya buat saya hilang. Saya hilang dalam kotak kotak graf yang ke tujuh puluh tiga dari garis lintang dan ke sifar lima dari garis cacak. Bila saya hilang, pasti saya di situ.

Kadang kadang, saya akan bersembang dengan jiran sebelah. Ya tepat. Sebelah saya ada lagi jasad jasad yang hilang punca. Mereka juga punya rasa seperti saya. Tapi, yang amat menakjubkan, saya dapat pulang tapi mereka kekal di dalam kotak kotak graf. Baju mereka telah lusuh dan wajah mereka, betul betul menunjukkan yang mereka telah sesat dan hilang seratus peratus. Tapi ada seribu senyum yang mekar di bibir mereka. Bibir mereka merah. Tidak kering dan pecah pecah.

“macam mana boleh ada di sini?”

“aku awal awal dahulu, macam kamu, selalu hilang bila asyik dan boleh datang dan pergi. Tapi kerana terlalu asyik, sekarang aku tidak boleh pulang.”

“berapa lama sudah di sini?”

“lama...”

Ouch. Mendengarkan lamanya dia berada di situ, saya terus melompat turun dan tika itu, jasad saya melayang layang. Bagai ditiup angin. Tiba tiba terbang. Terasa seperti ada pelepah yang menampung. Menutup mata, dan akhirnya sampai. Di hadapan meja. Di hadapan sekeping kertas graf sambil tangan masih melukis graf cosine.

Esoknya, saya datang lagi, saya sambung lukis dan kembali ke dalam alam kotak kotak graf. Kali ini, saya tersangkut betul betul di dalam kotak yang kedudukannya berada di bawah amplitude negatif. Saya berada dalam satu lengkuk. Tajam. Di sebelah saya ada perempuan. Rambutnya sudah kusut kusut tapi baunya wangi tidak menggambarkan apa yang bermain dalam benak fikiran saya.

“macam mana boleh ada di sini?”

“saya awal awal dahulu, macam kamu, selalu hilang bila terlalu asyik dan boleh datang dan pergi. Tapi kerana terlalu asyik, sekarang saya tidak boleh pulang.”

“berapa lama sudah di sini?”

“lama...”

Musykil. Saya musykil.

Saya terjun ke kotak bawah. Ada perempuan juga. Sedang duduk duduk sambil potong kuku jari tangan kanan. Saya tanya soalan yang sama, dan jawabnya juga serupa. Musykil saya semakin tebal.

Saya terbang keluar. Di hadapan meja, saya ambil kanta pembesar dan melihat pada kotak kotak. Rupanya, setiap kotak kotak graf, ada penghuninya, saya meniti kembali setiap kotak kotak satu persatu. semakin ingin saya lihat, semakin dekat kepala saya dengan kertas graf. Makin lama makin dekat. Akhirnya, saya tersedut dengan sendiri.

Saya terhantuk dan tersedar bila bau wangi datang menusuk rongga hidung. Baunya tak ubah seperti sejambak mawar merah yang ditambah lagi dengan minyak wangi Moroccan rose. Sangat wangi hinggakan jika terdedah lama dengan bau ini, langit pun gugur dan bintang berhenti berkelip. Saya berpeluh. Bila saya buka mata dan genyeh sikit sikit, barulah saya sedar, mengapa dan kenapa mereka yang ada di sini tidak mahu pulang. Bukan kerana mereka tidak boleh pulang, tetapi mereka tidak mahu pulang.

Rupanya, ada satu hati berbentuk dua lengkuk di atas dan meruncing ke bawah. Warna merah. Mengeluarkan bau yang sudah diterangkan tadi. Bila dipandang, hati itu kuat berdegup. Makin di pandang, makin kuat degupan. Selari dengan degup hati dalam diri. Makin kuat degup, makin wangi. Makin wangi, makin khayal. makin khayal, makin kuat degup.

Akhirnya, saya jadi penghuni tetap dalam kotak kotak graf. Saya tidak silap lagi. Itulah tempat saya yang sebetulnya. Kalau ingin melawat, tengok dalam dalam kotak graf bila melukis graf cosine, dan bayangkan, saya sedang melambai lambai tangan.



^tamat^

2 comments:

Afe Oth said...

boleh main gelongsor tak?

Aizuddin Jaafar said...

Wah bagus. Senanglah aku nak melawat kau lepas ni.