Thursday, July 15, 2010

"BO, NANTI DULU."

00067


Masuk yang kali ini, tiga kali sudah Bo bersiul dalam masa lapan minit. Lagu nyanyian Ying Tithikarn. Ibunya marah-marah. Katanya siulan mainan syaitan. Macam anak kecil yang mainannya bola kecil warna-warni atau patung askar dan dinosor. Siul panggil syaitan. Nanti ada syaitan datang menari terkinja-kinja tanpa kira waktu, dan melangkah segala alatan sekolah dan kitab Bo yang bersepah di atas gelegar. Dalam ramai-ramai yang menari tertonggeng, nanti ada lah seekor-dua yang akan datang dan berbisik halus dan menggiurkan, “Bo, jom curi buah laici Pakcik Leng. Jom Bo. Jom Bo. Pakcik Leng tiada di rumah. Dia pergi perasmian kedai runcit baru dia di hulu kampung sana. Jom Bo. Jom la.”

Yang membuatkan Bo tidak percayakan sikit pun siulan syaitan ialah, dia tidak pernah pergi mencuri buah laici Pakcik Leng walaupun diajak syaitan berkali-kali. Paling melampau syaitan bisik, dia kata yang Pakcik Leng dah pergi ke Taman Maluri, Cheras, mencari isteri dia yang lari kerana Pakcik Leng kuat berjudi. Lagi lah gila Bo takkan percaya walau hidup dua kali. Tak sangka syaitan sedungu itu. Bo tahu, Pakcik Leng mana kahwin lagi. Dia sami alim. Bertuhan. Tidak kahwin. Tidak judi. Makan pun cuma sayur dan telur. Mana mungkin dia ada isteri. Dan isteri lari pula tu. Esh mengarut.

Kukuh Bo pahat dalam dada jantannya, “Siulan cuma siulan. Mengarahkan angin untuk bergerak lurus mengikut bibir yang dimongelkan. Tidak bersangkut paut dengan syaitan. Kecualilah Bo jadi mabuk jika bersiul dan hambat anak-anak ayam tidak tentu pasal.” Bagi Bo, syaitan boleh datang dalam pelbagai rupa dan rasa. Bukan sekadar dalam mainan siulannya. Boleh jadi syaitan datang dalam bentuk cincin berbatukan berlian. Siapa sangka. Bo bukan Tuhan. Bo bukan Malaikat.




^bersambung^

No comments: