Friday, July 23, 2010

JONI TIDAK OKE.

00073


Petang datang, Joni bersiap. Berkemas kemas. Menyapu gel rambut warna hijau ke atas permukaan rambut yang makin beruban. Dan Joni sisirnya rapi. Ketiak Joni calit dengan dodoran wangi. Tambah lagi dengan semburan minyak yang wangi nya, mampu memalukan flora flora kerana wangi mereka tidak setanding bau minyak wangi Joni. Baju warna warni berbutang banyak Joni kenakan. Dengan seluar berkilat dan bergosok lurus pada garisnya. Joni sarung kasut, dan tanpa berfikir dua kali, Joni berjalan. Merempuh angin yang suhunya makin sejuk. Lepas hujan. Kabus membalut kawasan.

Joni tiada motor, tiada kereta. Syiling untuk tambang bas pun tiada. Yang Joni ada hanya cuma harapan. Lalu Joni pun berjalanlah sepantasnya. Tika itu, jam tunjuk pukul enam empat puluh tiga petang. Sekejap lagi maghrib. Azan akan datang mengetuk pintu rumah rumah. Yang baik, akan buka pintu dan menjemput masuk. Yang kurang baik, akan menghalau dan mencaci. Ouhhh manusia. Kenapalah Joni manusia.

Ponnn ponnn. Pinnnn. Hoi brengsek, kenapa tekan brek. Sial asap tebal. Pooonnnn.

[suasan sesak di jalan petang petang]

Lori dan bas merangkak pelan seperti bayi kurang susu. Kilang Panasonic besar meriah bila petang begini datang. Pekerja pekerja mula mahu pulang ke sarang tiduran setelah seharian penat memasang produk industri. Ada yang berbaju kelabu, berbaju merah, berbaju biru. Yang tidak berbaju pun ada. Dan kebanyakan yang tidak berbaju ialah pekerja indonesia dan nepal yang bekerja sebagai buruh kilang Aida. Kilang Aida bertempat di hadapan kilang Panasonic. Makin bertambah sesak petang.

Joni memerhati sambil berjalan dengan melipat sedikit kaki seluar takut takut terpercik becak dan air di rumput. Joni tidak mahu nampak selekeh di kelab nanti.

"Yo mas. Pegi mana mau dong? Cantik banget gitu. Mana ceweknya. Ha ha ha ha."

Usikan beberapa pemuda indonesia bertopi kuneng dan bersinglet itu tidak sikit pun Joni hiraukan. Sudah lali. Sudah hilang benci. Yang naksirnya, petang menjengah malam ini, Joni mahukan sesuatu yang mewah dan yang mewah itu bukan sesuatu yang memerah ongkosnya.

Malam ini Joni tidak oke.





^bersambung^

No comments: