Saturday, October 09, 2010

BAH SULUNG AWAL OKTOBER MENGIRINGI LAGU NOMBOR TIGA.

.


Bah sulung awal Oktober bukan satu bencana. Biarkan apa yang jatuh mati, biar mati dan jatuh. Biarkan apa yang bengkok patah, biar patah dan bengkok. Bah sulung tetap akan datang. Dengan air masin paya bercampur tawar payau, air bersih puteh bercampur selut berkeladak hitam, dan air deras bertembung dengan tohor setohor-tohornya. Maka terjadinya bah sulung awal Oktober.

Siapa yang sangka ia akan datang? Orang di jabatan kaji cuaca pun tidak terjawab bila ada orang mewah bertanya dan separa menengking, “Kenapa tak beritahu awal-awal? Hush.” Maka apabila terjadinya bah sulung, semua isi dan tulang belakang kampung akan tenggelam. Semua pohon daripada pohon sekukuh durian tembaga berpuluh tahun dan lalang berusia dua hari, semua akan hanyut. Dibawa arus yang entah ke mana berhenti penat. Rumah, meja makan lapan kerusi, sapi, pasu bunga, kereta dan reban-reban ayam, malah bayi, semua akan hanyut dan hilang apabila bah sulung bertandang. Pada awal Oktober. Siapa mampu lawan? Aku?

Oh sayang, tak mungkin aku mampu. Sayangnya, tak mungkin. Tapi biar aku cuba.

Bila bah sulung datang, aku tidak akan lari. Jika ada gelombang dan air yang deras menyerang, aku akan berpaut pada tiang-tiang rumah, atau batang pohon yang tumbang. Kalau pula ditakdirkan ada buaya yang hanyut, aku akan jerkah, “Pergi kau pergi bermain jauh-jauh. Huah.” Misalnya lagi, kalau ada air pusar yang besar di tengah jalan raya yang berlubang, apa aku akan buat? Aku cadang begini. Kau dengar ya.

Aku akan kumpul setiap daun dan ranting yang terbang patah kerana angin kuat, aku akan letak dalam guni dedak lembu. Cukup ribuan guni berisi daun dan ranting, aku akan tutup sikit-sikit lubang besar, maka akan tiadalah lagi air pusar. Cantik tak cadangan aku? Mudah bukan?

Semalam, bah sulung awal oktober datang. Waktu tengah hari sedang enak menghirup sirap sejuk yang mencucuk anak tekak. Sayangnya, aku tak mampu kotakan apa yang aku api-apikan kerana aku sedang sibuk mengesat dua belah mata aku yang berair basah. Habuk tebal dan tajam masuk. Bukan menangis. Bukan ya. Habuk setebal dan setajam kaki lompat belalang. Lebih pedih daripada habuk debu jalan-jalan di Wangsa Maju. Hilangnya habuk dalam mata, berhenti pula tiba-tiba bah sulung awal Oktober. Tiba-tiba dengan segala mistiknya, bah berhenti mengawan dengan sekeliling.

Konsekuens, jangan tanya. Sebiji seperti apa yang aku cakap tadi. Durian tembaga dan lalang pun hilang. Reban ayam tinggal tapak sahaja. Kereta dilambung ombak entah kemana. Pasu bunga tercampak-campak. Padang jarak seperti lapang sasar jadinya. Ya Allah.

Aku tarik nafas sedalam mungkin dan berjalan masuk ke dalam rumah yang tidak lagi berbumbung. Separa berdinding. Aku siapkan tukul dan paku, cangkul dan papan, nafas dan segenggam nasi puteh. Aku paku balik pelan-pelan rumah yang senget empat puluh lima darjah. Aku siapkan balik reban ayam dan meja makan. Aku susun kembali pasu bunga bogenvila dan melur yang sudah hilang pohon. Aku cari kembali di mana sapi aku hanyut. Mana mana dia sapi aku sayang. Aku buat sendiri semuanya.

Jalan di hadapan rumah, ada lubang besar. Bahana air pusar. Tapi tidak apa, sekejap lagi, aku akan betulkan semuanya sendiri, dan aku mahu hidup lagi esok hari. Dan mulut pula, tidak habis-habis menyanyi lagu nombor tiga. Asyik gitu. Bukan dangdut ya.


.

No comments: