Monday, October 18, 2010

KOPI MALAM DAN KEYBI.

.

(Oktober 18)
Menyedut anak api paling bongsu berupa asap kelabu di hujung rokok nipah bergulungan tembakau wangi bercengkeh, bukanlah satu kebiasaan yang normal. Ini cacat. Cacat boi cacat. Tambah-tambah lagi dengan hirupan kopi panas hitam seperti tar baru lekap di tanah. Dalam gelas kaca silika berwarna puteh berbunga biru. Ouh tragis. Selamat malam aku usulkan.

Ketragisan hal-hal kurang normal mampu membawa aku ke aras tertinggi dalam kelangsungan hidup hari-hari yang kurang tenat. Langsung bukan aku jika begini. Serius. Bukan aku jika begini. Aku selalunya lain. Bukan aku jika begini. Ya sumpah, aku tidak mabuk nira masam. Bukan aku jika menghisap rokok daun, dan minum kopi. Dengan kaki tersilang. Atas kerusi batu. Rileks tanpa fikir apa-apa tentang apa-apa.

(Oktober 19)
Malam warna biru gelap mencapai hitam hangit selalunya bawa keajaiban yang tak sudah sudah. Bukanlah aku maksudkan keajaiban seperti lailatul qadar (malam ketika pohon pun bersujud dan bintang pun mengelip kasih). Atau bukan juga seperti malam hari pertama kau di asrama. Tidur bersama bantal entah siapa punya tompok liur basi cokulat dan tilam yang punya tompok air mimpi orang muda. Entah siapa punya, kau tak tahu. Kau langsung tak mahu tahu. Dan kau melihat palang besi kaki katil makin hilang dalam kerisauan kau untuk menempuh esok hari yang kau tak pernah tahu yang apa akan ada. Muka ibu kau berbalam balam dan suara ayah kau, senada dan menghilang.

Malam ini, dia kucing , nama dia Keybi. Aku tahu itu daripada suaranya. Yang manja dan pelan. Diutuskan mungkin Tuhan mungkin syaitan untuk temani aku membaca buku baru bermuka dua ratusan. Membelit betis. Mula dari kanan, diikuti kiri, kemudian kanan, dan kembali kiri. Seperti ibu mencium pipi puteh anak baya enam tahun untuk ke tadika. Akhirnya, melompat ke atas ribaan dan merenung tajam ke dalam mata lelahku. Aku tak tahu apa yang Keybi (kucing) fikirkan. Yang aku tahu, dia manja.

Aku pun tahu, dia tak pernah tahu yang aku pun manja seperti dia. Miaww.

(Oktober 20)
Buku aku baru beli. Jual tepi jalan sebelah bangunan partai politik yang gah . Buku lama. Tahun terbitnya sudah menjangkau empat tahun. Lebih tiga tahun, ianya dikira lama. Kerana masih bertahan, ia menampakkan skafolding nya yang kukuh semasa pembuatan. Seperti hubungan cinta sesama kita tidak kira laki atau perempuan. Ia perlukan skafolding yang kukuh. Baru boleh usai senang senang sampai mati. Begitulah.

Daripada lakaran kulit depan, aku tahu ia berbisa ( gambar, ‘Orang Muda Greek di Masjid). Lagi lagi apabila tajuknya buku, seperti sesuatu yang mampu difikirkan dalam dalam. Diam diam. Misalnya, kenapa itu terjadi dengan bantuan ini tanpa disertakan dengan apa apa kelebihan yang membantu. Musykil untuk difikirkan tapi tidak mustahil. Sebabnya, ada Tuhan. Kalau manusia seperti aku, dan kita dibenarkan menjadi Tuhan untuk sesaat sekalipun. Aku yakin, tiada yang akan mati kerana ujian seperti mati sakit barah atau mati dalam tahanan. Yang aku yakin sekali, pasti ramai yang akan mati kerana dibunuh benci.

Itu hal utama mengapa manusia jadi manusia. Tuhan tetap Tuhan. Burung tetap burung. Biawak tidakkan menjadi langau. Dan tauge takkan menjadi sekeras meranti (kecuali jika baja yang bagus dan tahan lama).

Sayang aku sayang, aku tidak mampu fokus jika begini terus terusan. Menghisap asap dan minum kopi. Kopi malam. Bawa hujan datang. Aku tak jemput. Datang bawa sekali pilu petir.

Jauh sekali malam ini Arkvoodle bercerita. Kisah dia mengembara ke angkasa paling atas. Yang paling banyak habuk dan vakum sekelilingnya. Ark ketemu dengan makhluk asing, kemalangan dengan meteor dan bintang bintang kecil yang berupa sampah di angkasa paling atas, berhenti di motel motel murah di planet yang punya lapis atmosfera. Atmosfera senipis bulu mata kekasih pun oke.

Katanya, itu untuk menjamin injap injap dalam badannyanya, sihat tidak berkarat dan mengeluarkan bunyi kerik kerik kerik. Tidak perlu beli WD40. Dia kembara seorang seorang sebelum dicampak ke bumi untuk dikerjamusnahkan. Dia kata begitu, aku dengar saja acuh tak acuh. Tidak mengiyakan atau tidak menidakkan. Saja tidak mahu ambil hati. Lagi lagi hati Ark. Terlalu asing.

Ohya, aku ingin baca buku.

Masuk muka ke lima, aku berhenti baca. Keybi sudah entah ke mana. Mungkin pergi ketemu kekasih baru. Beruntung dia jadi kucing. Tuhan kata kau jadi kucing, maka kucing. Kalau Tuhan kata aku jadi debunga, maka debunga. Arkvoodle buat aku pening kepala dan rasa letih kerana terfikir angkasa paling atas jika dengar dia bercerita. Berhenti membaca, aku letak kepala atas meja. Pandang kaki. Selipar biru dan kuku yang bersegi.

Bertafakur, lalu rindu, dan aku lelap dalam bau asap tembakau, kopi malam dan Keybi.




*tamat*

1 comment:

Afe Oth said...

kuku bersegi. lama pengawas tak cek.