Tuesday, November 02, 2010

BAWAH BULAN NOVEMBER.

(akhir sebelum berehat sebentar daripada menulis di dalam blog)

.

Ke Hadapan Celatu-Celatu.

aku celatu (kelekatu).

aku lihat, bawah bulan november, ada dua celatu terbang. mencari samar bulan untuk berhenti dan membetulkan sayap yang terkopak kerana terlanggar sarang labah-labah.

aku lihat, bawah bulan november, ada banyak celatu terbang. pergi ke arah samar bulan yang banyak tembus melalui daun rimbun di pohon. ada celatu yang sehat. ada yang sakit. yang sakit? terus-terusan sakit tanpa dihiraukan yang lain.

aku lihat, bawah bulan november, ada celatu berpangkat doktor bertandang. cuba memberi ubat kepada yang sakit. terus-terusan sakitnya, beransur sembuh dan terbangnya, sikit-sikit ada upaya. sayapnya tidak lagi kopak seperti terlanggar sarang lelabah.

bila aku jaga, bulan november makin habis dan banjir pasti datang. celatu pun beransur pergi. masuk ke busut masing-masing. bersiap dengan anak-anak untuk berpindah ke busut lain. banjir pasti bawa bencana. bukan cinta.

aku lihat, bawah bulan november, celatu bermigrasi besar-besaran. yang berada akan mengangkat sekali sofa dan perabot jati. yang biasa-biasa, cuma bawa tikar mengkuang. walaupun tikar, tapi tetap diusung beberapa celatu lain. sambil senyum dan tidak berkata hodoh atau menjelir lidah sekalipun.

aku lihat, bawah bulan november, celatu bertukar menjadi semut yang beribu banyak. sayapnya tanggal dan keluar punggung hitam yang besar. tidak lagi terbang tetapi berjalan merentas tanah lembap. secara sendiri tanpa celatu lain.

aku lihat, bawah bulan november, desember terpandang-pandang. dia buat gaya isyarat. isyarat desember bermaksud, "sampai bila kau mahu lihat bawah bulan november?"

aku bingkas bangun. ambil ubat pemberian doktor, tikar mengkuang dan terbang pelan-pelan. usung sendiri-sendiri. migrasi kali ini dalam cuaca yang tidak menentu, pasti susah dan mendebarkan.

kata desember lagi, "kita tengok apa jadi november akan datang. moga berjumpa lagi celatu-celatu."

Salam Kasih Dari Aku.

.


^Tamat Koleksi Skafolding Jambatan Ke Seberang^

No comments: