.
Resah pagi ini, seperti biasa lah. Kebiasaan bagi laki-laki pasca-sukar, resah memikirkan hari yang dia akan menjadi formal tidak pernah kurang walaupun masih boleh meneruskan aktiviti seperti membaca dan memasak. Walau secubit. Tidak pernah kurang.
Pagi ini pasti Pokcik Soh akan menyuruh Aspar beli akhbar lagi. Dia pula, pasti akan bangun, duduk, mengangkat ketiak membetulkan urat menggeliat malas. Berjalan pelan menyeret kaki pergi ke arah jendela dan menolak keluar. Membiarkan angin pagi sejuk Kampung Suasa Cantik masuk ke segenap ruang hingga menyusup ke bawah katil yang penuh dengan habuk dan buku-buku lama.
Angin pagi yang sudah tersadur dengan bau daun pisang, daun kadok, asap rokok semalam yang masih berlegar di kedai kopi kusam Pok Man, dan bunyian motor penoreh-penoreh yang pergi membeli air teh panas, sedikit sebanyak menghidupkan pagi hari ini. Hidup dan bangkit pagi hari ini, menaip hari ini untuk esok. Menaip esok untuk lusa. Ya, pagi lah yang menaip hari dan menghidupkan minggu menjadi bulan menuju tahun. Begitulah berbunga dan berbuahnya hari-hari untuk manusia. Manusia tidak pernah sedar yang hari akan berbunga. Dan berbuah.
Yang mereka tahu, mereka perlu terus berjalan merentas orang lalulalang. Dan kadang-kadang. Eh bukan kadang-kadang, tapi selalu saja, mereka terlepas daripada membuka ruang kocek sebesar telefon bimbit dan memetik buah hari ini. Lalu buah menjadi busuk. Berulat sebelum jatuh gedebub ke atas tanah. Dan kalau bernasib baik, menjadilah pohon baru. Kalau tidak, oh Tuhan.
"Aspar, beli akhbar untuk pokcik pagi ni boleh? Beli sekali daun rokok ya."
Aspar tidak menjawab dan pura-pura tidur kembali. Dia malas untuk pergi keluar membeli. Berjalan separuh sedar dengan muka separa tidur berkain pelekat dan berbaju semalam. Ditegur ayam dan anak kucing Mokcik Nab. Oh sungguh 'annoying'. Jadi keputusannya, kembali tidur. Kembali mengucup bau bantal dan bau gigi yang masih tidak bergosok. Aspar pun lena.
"Aspar, beli akhbar untuk pokcik pagi ini boleh? Beli sekali daun rokok ya."
Ah sudah. Sudahhh. Kalau mimpi pun sudah sama seperti yang tadi, terkocoh-kocoh maka Aspar pun jaga sekejap. Berdoa moga dia bermimpi kembali mimpinya dalam arkib semalam bertarikh semalam. Mimpi semalam yang bertajuk, "30 Minit Berambut Panjang Dengan Kredit Infiniti".
30 minit selepas ini, Aspar akan bangun, gosok gigi, solat Subuh dan keluar mengutip buah hari ini. Nyum nyum. Sedaap. Manis gitu macam yu pakai gincu warna biru.
.
No comments:
Post a Comment