Tuesday, December 21, 2010

PELEPAH KUSAM

.


Saya akan bawa dengan langkah berjalan perlahan mengheret punggung. Setiap pelepah-pelepah kusam kuning yang jatuh ini, ke kedai tukang jahit sebelah kedai runcit. Di kedai tukang jahit sebelah kedai runcit, pasti dia tahu apa yang perlu dibuat dengan pelepah-pelepah kusam kelabu yang jatuh kerana dia tukang jahit. Gugur kerana lama tidak bertebar. Boleh jadi, lama tidak kena cahya matari. Boleh jadi juga tamat tempoh. Boleh jadi macam-macam. Tidak lah lama kalau dilihat pada dada kalendar. Mungkin cuma beberapa bulan tidak kena cahya matari. Tapi keguguran pelepah-pelepah kusam hijau yang jatuh daripada sayap, sungguh membasahkan dua mata saya.

Lalu basah, menitislah.
Lalu menitis, bercambahlah.
Lalu bercambah, berwarnalah.

Sekarang, selang berbulan-bulan saya menunggu masa pelepah-pelepah kusam untuk dibaiki, akhirnya siap. Walaupun tidak sempurna jahitnya pada penilikan saya, tapi kata tukang jahit, "sudah siap". Sebenarnya saya tahu dia tipu. Saya masih nampak ada carik-carik dan ada benang yang tidak betul dan tidak kemas jahitan. Tapi kerana dia kata "sudah siap", saya akur.

Lalu basah, menitislah.
Lalu menitis, bercambahlah.
Lalu bercambah, berwarnalah.

Sebelum pulang, dia beri saya resit. Ada cop rasmi bulat kaler merah kedai tukang jahit sebelah kedai runcit. Di belakang belakang resit, tukang jahit ada tulis guna pen hitam,

"yang selebihnya, belajarlah dengan sendiri."

Ada dia bekalkan satu jarum jahit, satu jarum peniti, dan segulung benang. Saya terpinga-pinga kerana saya langsung tidak pernah menjahit dan ini kali pertama, dan ini sungguh memedihkan pangkal hati hingga membuatkan saya tersedu-sedu. Menangis.



.

1 comment:

puding roti said...

kasihan. tp kita belajar dr tidak tahu. kemudian semuanya menjadi mudah utk kedua kalinya, ketiga kalinya. sy selalu takut utk ke tpt br sbb sy tkt sesat. sy buta jln. tp sy kena cuba sbb sy tak blh hrpkan sesiapa utk selalu ada di sebelah sy. jd sy memandu sambil menangis. melawan rs takut. akhirnya berjaya jg smpai biarpun muka comot berpeluh dan ada air mata kering. lucu hoho