Tuesday, July 19, 2011

SOLSTIS MUSIM PANAS.

.






Ikan tiada di pasar-pasar. Apa laut sudah kering atau Tuhan marahkan aku? Aku memohon ampun Ya Tuhan kerana aku berdosa. Nada melankolik berdarah dari utara ke timur ini, pasti menakutkan ikan dan pagi ini halnya membuatkan ikan di pasar perutnya lembek-lembek dan insangnya merah seperti darah. Sungguh busuk hanyir seperti mayat tergeles dan tidak segar. Seperti aku sekarang. Tidak segar kerana sekejap-sekejap, terasa loya.

Nada di atas katil semalam bukan banality. Ia terlalu jujur untuk diungkapkan lama-lama dan kembali ke tempat beradu ialah sebaiknya. Kembali daripada kota rusuhan cukai teh menuju balik ke rumah ialah sebaiknya tempat untuk berehat. Dengan aku. Menghilangkan lenguh yang memanjang menyerang pangkal kaki halus, peha, abdomen dan leher yang meruncing. Kuruskah atau makin merindu sakitmu? Aku tidak dapat memastikan setepatnya kerana semalam, aku ialah bintang di atas kepalamu yang berkedudukan pada solstis musim panas. Selalunya dua puluh dua Jun. Sekarang sudah mencapai dua puluh Julai, melepasi hari delapan belasnya. Kita patut bangga. Dan senyum. Apatah lagi bersyukur dengan kelopak-kelopak ini.

Akan sampai satu masa, hujan pun akan berhenti untuk memberi waktu pada aku untuk kembali menjadi penukar tayar lori. Duduk menukar tayar sambil melihat, kau bergaya superman di atas motorsikal bersaiz besar. Ianya realiti. Beranilah untuk bermimpi. Ketika rindu ini menjadi merah-merah satu persatu seperti rambutan, aku tahu ini bukan calang-calang harga. Semalam aku berjalan seorang-seorang ke KLCC. Aku nampak ia berjuta sayap. Berburung seribu. Dan semalam juga, aku sudah di timur. Semalam juga aku di kedudukan seratus dua puluh timuran dan semalam juga aku di kedudukan tujuh puluh lima darjah, sembilan minit dan lima puluh satu saat utara.

Menikmati angin petang panas merembeskan zat-zatnya yang tersorok. Aku menunggu esok untuk mendengar perkhabaran tentang beburung seribu yang sehabis daya aku, cuba menepatkan ke tempat duduknya.
Aku berpeluh.



.





2 comments:

asnawi ariff said...

panas berpeluh. busuk sekali

Anonymous said...

nice!!