Suasana pagi ini tidak membenarkan aku untuk mengejutnya jaga seperti biasa. Dia tiada
di tempat tidur. Bantalnya panas, tetapi dia tiada di tempat dia selalu berlingkar manja.
Selipar biliknya yang ada bintik seperti badan zirafah juga tidak ada. Pasti dia di bawah.
Tempat tidurnya tidak jauh daripada tempat tidurku. Sebelah sahaja daripada pintu dan berdekatan dengan tempat aku menyidai tuala, seluar keci dan tali pinggang kulit yang aku pun sudah lupa berapa umurnya dan berapa harganya. Tidak apalah kerana aku memang terdidik untuk tidak begitu peka dengan aksesori. Lantas pagi ini aku bangun terus tanpa menggenyeh mata. Cepat cepat aku solat pagi dan cuba untuk menuruni tangga laju laju. Kipas semalam tidak tertutup. Berputar panas tidak pernah mengaduh penat. Tivi juga sama. Bila pagi, orang dalam tivi pun mula berpot pet pot pet pot pet. Tidak henti henti dan ditutup dengan pot pet pot pet khas berirama di awal awal pagi esok.
Dia ada di dapur rupanya. I see. Tertonggeng dan bermata merah menangis dan menggigil kerana tidak mampu menggerakkan badan. Dia kejang. Di tangannya ada sudu besar yang penuh dengan serdak milo coklat yang sudah berterabur. Dia ingin buat milo, tetapi malangnya, dia tidak berapa segar hari ini. Hmm. Habis baju tidurnya yang ada tulis, "I 'heart' Ron Weasley" terkesan dengan serdak milo paket hijau. Dia berbau coklat.
Setelah aku mengangkatnya dan merasakan pinggul dan belakangnya pelan pelan terduduk di atas tilam katilnya sendiri, aku bertanya padanya, "Kenapa kau tertonggeng dan menangis?". Dia menjawab dengan penuh lembut dan sedikit tersekat. Katanya, "Aku tak pasti kau suka milo atau kopi, lantas aku kejang segala otot dan separa mati." Selipar ada bintik seperti badan zirafah yang tersarung di kakinya, aku tanggalkan.
Dia mahu kembali tidur.
.
0 komen:
Post a Comment