Tuesday, November 15, 2011

SUBJEK SENI.

.




Pada pertengahan bulan lima tahun 2010, saya telah mengambil subjek "Penghargaan Seni" (Arts Appreciation) sebagai subjek tambahan untuk saya menaikkan markah saya yang kian merudum teruk. Walaupun merudum teruk, hidup saya tetap senang hati dan gembira kerana nikmat Tuhan ketika itu, tidak mengira siapa-siapa. Sekarang juga tidak mengira siapa-siapa, tetapi saya lebih berwaspada dengan diri sendiri yang sejujurnya. Sebenarnya, saya tidak pernah rela hati untuk mengambil subjek seni ini. Tetapi, kerana tiada pilihan yang luas dan saya pun kurang berfikir pada waktu itu, saya terpaksa ambil juga dan jadilah ia subjek pelajaran saya yang terlalu baru. Pada saya, subjek ini terlalu subjektif kerana tiada pengiraan dan tiada kata putus untuk setiap lukisan. Kata kawan sebilik saya, subjek ini akan mengajar saya untuk menjadi pengadun warna yang baik, dan penafsir lukisan yang teliti.

Saya masih ingat, ketika En.Dumdam (nama tipu pensyarah saya) awal-awal sekali masuk ke kelas. Mukanya kemas. Rambutnya bersisir. Sungguh intelektual dan kelihatan berpengalaman seperti ahli akademik profesional. Belum lagi dia memulakan kata, saya sudah menutupkan dengan inferens awal. Pada saya, di dalam kelas lagi lima minit, dia akan menjadi seorang pensyarah yang tip top cara pengajarannya dan pasti mudah difahami tutur katanya. Seperti biasa, pada hari pertama kelas, saya akan bersemangat. Saya ada pen dan buku nota kosong baru. Beg saya tetap sama kerana masih oke dan tidak terkoyak. Rambut saya tetap seperti itu. Tidak kemas seperti En.Dumdam.

Tetapi, semangat saya dan sangkaan awal saya, laju hilang seperti habuk di bawah almari yang disedut mesin hampagas yang berkuasa ribuan harga. Dia bercakap tanpa salam rasmi agamanya dan dia tidak kelihatan mesra. Dia banyak bangga diri, bukan mencurah pengalaman. Dia sepertinya meng-agak yang semua di dalam kelasnya, ialah yang hebat-hebat dan tidak perlu diberikan pengenalan yang panjang tentang subjek baru ini. Pada awal kelasnya, dia telah memberitahu kepada kelas, yang dia akan mengajar subjek ini cuma pada waktu kerjanya sahaja. Bila habis kelas, jangan cari dia atau kalau mahu bertanya lanjut, pergi ke kampus kolej yang terletak berdekatan dengan Kuala Lumpur. Sombong.

Saya sudah merasakan kedinginan subjek ini kerana En.Dumdam.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang dia dan segala cabaran yang telah saya lalui bersama rakan sekelas saya sepanjang menuntut ilmu ini dengan En.Dumdam. Saya tidak nafikan, untuk menuntut ilmu, penuntut perlu patuh dan akur dan taat dan semualah yang baik-baik pada guru atau pendidik. Tetapi bagi saya juga, toleransi dan kesefahaman dan nilai hormat menghormati antara dua pihak juga wajib ada kerana tanpa toleransi, tanpa kesefahaman, tanpa kesediaan untuk memberi dan menerima dan tanpa hormat sesama, pergi matilah dengan kejayaan. Begitu realitinya. Jadi sekarang, kerana saya tiada kesefahaman dengan En.Dumdam, kejayaan saya di kolej itu pun pergi mati.

Jadi, adakah apabila kejayaan saya mati dan nafsu saya hilang untuk memijak kaki di tanah yang betul-betul basah pada hari-berikutnya, saya akan turut mati? Jawabnya tidak kerana seingat saya, Tuhan ada kata yang tidak akan dipercepatkan atau dilambatkan saat mati. Siapa cakap? Tuhan. Siapa Tuhan? Yang Maha Hebat Dalam Memberi Nikmat. Dia kadang-kadang buat saya menangis sedih. Dia juga selalu buat saya senyum sepanjang umur kerana masih hidup dan tidak pernah lapar seperit anak kecil kurus di Mogadishu.

Subjek seni, En.Dumdam, dan nikmat-nikmat manis Tuhan. Bagi saya, tiga elemen ini jika boleh dibentuk, saya akan membentuknya sebagai sebuah pohon yang tak segar kerana tersiram dek air laici pekat dan manis, tetapi berdaun lebat, yang batang kayunya dimamah anai-anai, dan menunggu mati tetapi tidak mahu tumbang-tumbang. Saya bersyukur kerana berpeluang untuk mengenal jenis-jenis 'brush stroke' yang digunakan oleh pelukis-pelukis untuk setiap era. Saya bersyukur kerana berpeluang untuk mengenali lukisan mengikut rentak warnanya, dan yang paling saya bersyukur, saya ada di kerusi kayu ini. Mampu menaip. Mampu mencerna. Mampu terus besenda. Dan mampu terus ada.

Sekarang saya ada. Tak mati se-seksa dahulu. Sekarang saya bernafas laju. Tak rebah se-luka dahulu. Sekarang saya ada di sini. Tidak lagi di dalam lukisan lama di era Baroque. Ketika pelukis masih menggunakan cara tampakan 'brush stroke' yang kasar. Pergilah kembali pelukis kepada lukisannya. Kembalilah saya kepada awalnya saya. Keluarlah saya dari kubur sunyi yang berair mata. Kerana 'saya' ada di sini. Secara benar. Bukan dalam bentuk foto yang dilukis kembali menggunakan garis-garis arang, atau bukan dalam calitan cat-cat yang meletihkan.


.


0 komen: