Lambakan pelajar di dalam sesebuah universiti awam atau swasta, tidak akan menjamin kelahiran intelek-intelek muda yang aktif. Saya yakin. Tidak akan. Malah keramaian ini akan membodoh, menyesak, melembab, membenci, dan merencatkan pertumbuhan minda dan hati pelajar. Tidak percaya?
Maka berjalanlah pada waktu tengah hari dan lihat di tempat makan. Kesesakan yang tidak terbendung dan melampau. Pelajar berasak-asak. Yang kecil terhimpit bagai nak sesak nafas, yang besar menghimpit tidak berperi-ke-pelajaran. Yang perempuan berpanas-panas, yang lelaki berkipas-kipas. Lauk-pauk tidak mencukupi dan kebersihan entah siapa jamin, tiada siapa tahu. Mungkin ada tergoreng lipas atau cicak, siapa tahu. Ya, saya tidak menidakkan jika ada orang berkata, “Bersusah dahulu, bersenang kemudian.” Tetapi, jika bersusah hingga tidak tercukupkan keperluan seharian dan tidak menjamin seperti apa yang sepatutnya ada, untuk apa kita sebagai pelajar, membayar beratus-ratus sebulan. Kemana wangnya. Ya mungkin untuk menaik taraf asas-asas universiti seperti membetulkan tandas, memasang penghawa dingin, membuat susur jalan dan pelbagai lagi yang mungkin ada perkara bodoh yang dibuat di dalam jumlahan wang-wang itu. Tetapi, keramaian dan lambakan pelajar ini, sedikit-sedikit, akan melunturkan segala usaha pihak universiti dan kualiti intelektual yang bakal lahir.
Aduhai beginilah, jika kita letakkan berpuluh ayam jantan dan betina di dalam satu reban yang sama. Tertutup dan tiada pilihan makanan yang banyak. Sempit dan berasak-asak untuk mengepak dan mengawan. Pasti ada yang luka kerana bergaduh merebut makanan dan kawasan. Pasti ada yang terpalit tahi kerana terjatuh berkali-kali. Dan yang paling nampak sekali, pasti ada yang mati kembung dan busuk kerana tidak mampu untuk meneruskan kehidupan di dalam reban yang sesak. Analoginya mudah kerana saya menukar situasi pelajar, ke dalam situasi sebenar ayam. Selalunya, manusia akan lebih mudah memahami jika diletakkan nama lain ke atas namanya. Misalnya jika saya kata, ‘pelajar bodoh dan malas dan bebal kerana tidak mahu mengkaji’. Pasti ada yang berang semestinya dan marah bagai nak gila. Tetapi jika saya kata, ‘monyet bodoh dan malas dan bebal kerana tidak mahu belajar memetik kelapa’. Siapa akan marah? Monyet? Semestinya tidak.
Maka berjalanlah pula pada waktu maghrib dan malam hari. Pelajar berpusu-pusu beramai-ramai hendak keluar entah ke mana. Makanan di dalam sudah habis. Kering bekas-bekasnya dihirup bibir-bibir kering pelajar yang lapar. Mereka yang masih tidak dapat makan malam, pasti keluar untuk mencari makan. Dan di luar juga, penuh dan tiada tempat. Kedai goreng-goreng, kedai roti canai, kedai minum kopi, kedai nasi lemak. Semua penuh. Maka pelajar pun terpaksa memakan apa sahaja yang ada. Kalau ada roti, dia makan roti. Kalau ada biskut atau bijirin, dia makan itu. Tetapi kalau tiada apa-apa dan tidak mampu keluar? Adakah mereka mampu memakan pensel dan kertas-kertas nota mereka? Pelajar akan melarat dan pasti, ada juga yang akan mati. Tetapi kematian mereka, tidak pada nyawa, tetapi pada jiwa.
Alahai kematian jiwa ini yang merunsingkan. Kematian jiwa akan membutakan, menempangkan, mencacatkan, menulikan dan membunuh segala rasa cinta dan tanggungjawab hakiki pada diri sendiri, sekeliling, dan paling atas, tanggungjawab pada Tuhan. Hendak dikatakan, setiap minggu, wajib bagi pelajar-pelajar laki-laki mendengar khutbah. Khusyuk berkopiah atau bersongkok. Tidak kurang yang tidur dan bermimpi. Tetapi, seramai-ramai inilah, yang akan menyebut di bibirnya babi apabila ditimpa susah. Jadi apa sudahnya? Halnya, tidak lah salah saya jika saya kata, mereka ini monyet. Malah monyet lebih bersopan kerana tidak memaki hamun sehina itu akan ketentuan.
Kematian jiwa ini sedikit-sedikit. Kalau tidak ditelan ubatnya, susah juga. Hakikat penghidupan ini tidak lah terlalu rumit untuk difikirkan jika kita rajin duduk diam dan berfikir. Saya cuma mengaitkan dengan kekurangan kemudahan tempat makan dan kepadatan bilangan pelajar di dalam universiti yang semakin hari semakin ramai seperti ayam dan telur-telurnya yang baru menetas. Belum lagi saya kaitkan dengan sikap acuh tidak acuh pelajar dalam tanggungjawab mereka untuk ke kelas menghadiri kuliah, gila kuasa di antara pelajar, budaya kedekut kefahaman, budaya tidak reti menerima pendapat, dan pelbagai lagi jenis permasalahan yang nampak dan yang ghaib.
Hoi pelajar dan orang ber-dasi. Kita ada salah kita. Tiada siapa pun yang lengkap seratus peratus. Dan kita kena berfikir sebetulnya dan sepenuhnya seperti manusia. Kita perlu berubah dan jangan jadi bodoh selamanya sejak dahulu dan akan datang. Separuh daripada kita perlu mati dan pasti orang ber-dasi buka mata dan mengurangkan kepadatan dan lambakan pelajar di dalam sebuah universiti. Moga Tuhan ada di sini. Biar Dia lihat, yang ini lah pewaris terburuk di tanah pinjaman-Nya yang diamanahkan-Nya dahulu. Pepatah bersusah dahulu bersenang kemudian perlu seiring dengan keperluan dan kehendak dalam seharian. Lambakan ini memerlukan berbondong kematian pelajar dan mereka yang ber-dasi.
dasi - tali leher.
(tulisan ini ialah hasil daripada pemerhatian dan pendapat tempatan saya sendiri setelah saya kecewa dengan sekeliling)
.
0 komen:
Post a Comment