Monday, February 27, 2012

PAGAR 41

.


Awal pagi, lapangan terbang antarabangsa JFK yang bertingkat tingkat, tidak lengang seperti di LCCT. Subang pun tidak. Pengkalan Chepa pun tidak. Yang lain-lain apatah lagi. Di lapangan terbang yang berdaftar nama sempena presiden ke 35 (yang mati dibedil di Dallas), tetap ada orang kemas-kemas dengan bagasi besar masing-masing yang bersimpang siur ingin ke hulu hilir paksi bumi. Atas bawah kutub al-ard. Zenith nadir kepala dan kaki. Sibuk. Lahir saja manusia, lepas diberi peluang menangis, dia terus sibuk. Sibuk mahu buka mata. Sibuk mahu telan liur. Sibuk mahu mencari susu. Sibuk mahu belajar ucap mama dan papa. Kemudian sibuk meniarap. Kemudian sibuk merangkak tateh tateh. Kemudian sibuk berjalan dan berlari dan hari ini, dia di lapangan terbang JFK, bersama sebuah buku bertulis “Big Apple”.

Para petugas khas bersiap untuk menghadapi sebarang apa kemungkinan. Mereka ada cota. Mereka ada gari. Mereka ada seragam. Budak sekecil sehalus Maryam akan memanggilnya polis. Bila meningkat besar seusia abangnya Amin, mereka akan dipanggil pak guard. Dimurahkan rezeki, dia membesar dan sihat. Menjadi perempuan yang sejuk di mata, damai di hati, yang dipanggil Achu. Dia memanggil petugas khas tadi, pengacau. Kerana petugas khas itu tadi akan menegur kalau Achu buat bising dengan Maryam di mana mana supermarket. Petugas khas juga akan menegur Amin supaya jangan bermain tolak-tolak troli sedangkan itu ialah satu kepuasan yang tidak ada di dalam rumah. Apa punya polis. Apa punya pak guard. Apa punya petugas khas. “Kolot la kau. Tak ada life.” Kata member Achu dalam Fesbuk. Nama dia Pak Chu. Oke berbalik kepada dia yang ada di lapangan terbang JFK, bersama sebuah buku bertulis “Big Apple”.

Di sini, mungkin ada orang yang tersangkut lama seperti Viktor dari Krakozhia yang tidak mampu pulang dan tidak mampu pergi. Tidak asing juga kalau ada orang yang tak ada tiket tetapi datang atas alasan ingin mengingati memori lama zaman muda di lapangan terbang. Yang datang kerana memori itu mungkin datang daripada jauh. Mungkin daripada Amerika Utara atau Selatan. Atau nun dari lembap Asia di sana. Mungkin dari padat panas Timur Tengah. Semua kebarangkalian itu ada kerana di sini, orangnya ramai, dan memorinya padat.

Mereka yang datang atas alasan memori akan duduk sendiri. Buat-buat baca buku atau akhbar yang selang lima sa puluh ratus ribu minit tadi pun, masih dalam tatapan mukasurat yang sama. Mereka yang datang atas alasan memori tadi juga selalunya akan buat-buat makan. Padahal sama sekali dia tidak merasakan ada apa-apa makanan pejal atau minuman manis yang masuk menerjah ke dalam temboloknya melaului leher keringnya. Yang penting, buat-buat sibuk supaya tidak disapa oleh siapa-siapa. Bagi pengimbas memori, duduk diam dan melakukan satu kerja tanpa kerja ialah satu kewajipan. Tidak kurang juga akan ada yang berjalan sekeliling outlet bebas cukai dan akhirnya terduduk kepenatan dalam satu senyum yang tidak pernah ada di bibir sebelum ini.

Kalau ditanya kenapa, dia pasti menjawab, “Itu dia, tengah memilih coklat dan reben.” Kalau ditanya siapa, dia tak akan menjawab sehinggalah dia mendengar ding deng dung dong daripada speaker besar yang mengatakan, pesawat akan sampai. Pesawat dari … akan sampai.

Buku “Big Apple” tadi tidak banyak membantu. Jadi dia duduk membatu. Menguis-nguis di lantai berkilat setelah penat berjalan, makan dan membaca dengan harapan, ada syiling dari langit yang jatuh. Yang nilainya cukup untuk aku menelefon kau walaupun seminit.

Ding deng dung dong.

“Pesawat daripada Pi… akan tiba di pagar 41 dalam masa sepuluh minit lagi.”

Buku “Big Apple” dia buang. Dia lari ke arah pagar 41. Melanggar semua dengusan alasan dan cabaran.




(tamat)