Belenggu yang dicipta semalam, tidak dapat dileraikan oleh hari ini. Jadi, semalam meminta maaf pada hari ini, dan berjanji yang dia akan cuba menjadi lebih bagus pada lusa nanti. Hari ini jadi bingung. Dia mengambil telefon pintar dan menelefon lusa. Ditanya lusa, “Semalam oke tak pada lusa nanti?”. Jawab lusa, “Semalam oke sahaja pada lusa nanti.” Tamat.
Perbualan antara hari ini dan lusa tersangatlah singkat. Tiada langsung lenggok bicara seperti normal. Tiada bertanyakan tentang cuti hari itu, pergi ke mana? Ragbi dan bola siapa mendahului? Hujung minggu isteri masak apa yang sedap? Apa kerenah terbaru seisi rumah? Berapa anak sudah bersekolah dan ada cadangan nak ke pantai atau mana mana atau apa apa sahaja. Semua itu tiada. Hukum perbualan, mereka calarkan dengan dakwat kesunyian. Kerana kata lusa, semalam oke oke sahaja pada lusa nanti, maka hari ini tidak jadi untuk risau. Dia tahu, belenggu yang dicipta semalam akan terlerai pada lusa nanti. Betul atau tidak, siapa tahu. Tapi itulah jawapan lusa. Semalam oke oke sahaja.
Pulangnya hari ini daripada kerja pada jam 2.46 petang, semalam menelefonnya. Semalam bertanya, adakah kau free wahai hari ini? Dia tidak lantas dan pantas menjawab, sebaliknya cuba menafsir gaya cakap semalam. Bunyinya teruja dan tidak sabar. Setelah difikirkan separuh kali, hari ini menjawab free. Walaupun tidak kelihatan pada bibirnya, tetapi hari ini tahu, semalam tersenyum di hujung talian. Hari ini bersiap siap. Dia ingin ketemu semalam. Usai solat zohor dan mengunyah sepotong betik di dalam peti ais, hari ini menyarung kasut.
Sebelum hari ini menghidupkan enjin motor, dia memberitahu lusa melalui pesanan ringkas, yang semalam sudah oke. Lantas lusa menjawab selang dua minit melalui pesanan ringkas juga.
“Begini lah kita. Hidup sehidupnya dan terus ada. J”
Siap dengan ikon global yang digunapakai, ikon senyum.
.
No comments:
Post a Comment