Aku di dalam bas. Besar. Lebar. Perjalanan ke Johor bagi aku tidaklah lama kalau hendak dibandingkan dengan perjalanan yang mengambil masa berhari-hari. Yang mengambil hati dan rasanya seperti tersiat. Yang membuatkan aku tidak lena untuk tidur. Tidak mudah untuk dengar lagu-lagu. Tidak cergas untuk bernafas. Tidak pandai membuang kemasaman di bibir. Kritikal boi. Kritikal. Siapa tahu? Selain kau. Siapa rasa? Selain aku. Begitu sekali rasanya. Tiada satu pun setaraf dengannya.
Tetapi rasa itu sikit-sikit dijahit tutup semakin rapat dan rapat selang berhari-hari dan bertahun-tahun. Hari ini bukan semalam. Semalam ialah hari yang penuh dengan sebab musabab kekecewaan. Hari ini bukan semalam. Pegang itu. Kalau hari ini aku berjanji untuk membelikan kau sepinggan nasi bersama lauk telur separa masak, jangan kau kata yang esok, aku akan tetap belikan kau nasi bersama lauk yang sama. Aku tidak berjanji untuk itu. Kadang-kadang aku terlepas kata. Aku berjanji untuk membasuh luka di siku kau. Tetapi bila kau luka jatuh, aku kadang-kadang tidak perasan akan luka kau. Kerana aku asyik memikirkan luka kau semalam yang masih tidak baik jahitannya. Aku terjatuh.
“Mungkin kamu takkan pernah percaya bahwa sesungguhnya aku telah terjatuh.”
“Mungkin kamu takkan pernah percaya bahwa sesungguhnya aku telah terjatuh.”
.
Bas berhenti pada persimpangan yang memberi pilihan untuk terus atau ke kanan. Bas memilih untuk terus. Kerana telah tertulis di papan biru itu, yang bas perlu terus untuk sampai dengan pantas ke Johor. Kalau bas ke kanan pun, aku fikir akan sampai juga ke Johor pada akhir-akhirnya. Tetapi risikonya ialah sesat. Lost. Pada fikiran aku, tidak salah jika aku mewajibkan hal ini untuk difikirkan. “Kita memilih risiko”. Kalau kau terus, kelak kau akan jumpa eksiden. Kalau kau ke kanan, kelak jugak kau akan jumpa eksiden. Sebabnya satu, kita ada ‘rights’ untuk memilih. Dan ada risiko untuk dipetik. Bersabarlah. Tuhan ada.
Tuhan bereskan satu ‘highway’untuk kita dan sudah siapkan sekali bersama had lajunya, kawasan angin lintangnya, kawasan tanah runtuhnya, kawasan cerunnya, kawasan kijang gajah lembu melintasnya. Dan berjuta lagi papan tanda biru kuning telah Tuan Paling Agung kita selaku Tuhan sediakan. Kasihnya Tuhan, diberikan kita pilihan. Apa kau suka? Lautan atau daratan? Pohonan atau tanah galian? Angin atau api? Kiri atau kanan? Utara atau selatan? Yang kau suka, kau pilihlah. Tetapi jangan sesekali abai papan tanda Tuhan.
Aku pun tidaklah baik sangat. Aku bukan lebai bukan ustaz yang mampu berhadis dan bersurah tentang kisah-kisah Nabi yang mampu membawa teladan. Tetapi aku menulis ini, tidak lain tidak bukan, untuk merasa dekat dengan garis-garis putus yang lurus. Tidak mahu aku berbelok kalau aku rasa belok aku itu terlalu jauh.
Aku akui, aku terlarut.
Bas menelusuri pasaraya Yawata. Bersebelahan dengan kedai besar Abang Rozmey. Bas sekarang di Jitra. Tetapi tidaklah sedikitpun aku tahu mengapa dan bagaimana, sekarang ini, aku terdampar di Stesen Bas Nilai.
Datang ambil aku. Datang ambil aku.
Aku akui, aku terlarut.
.
No comments:
Post a Comment