Saturday, May 05, 2012

TASIK MENGGIURKAN

.


Menunggu kenaikan gaji pada bulan ini, tidak menenangkan langsung. Kata esisten di luar waktu ofis sewaktu kami makan-makan, gaji hujung bulan ini akan naik kerana PM tertekan dengan hal-hal dalam negara seperti temasya karnival yang tertangguh dan hal-hal family (perkahwinan dan lawan) yang serius. Oleh kerana tertekan sebegitu sekali, PM meluluskan semua cadangan tanpa memandang kertas cadangan lalu terus datang sakitnya yang biasa. Sakit perut.

Panas di luar kedai makan Western Good Food, menyengat. Deretan kedai-kedai kain memainkan lagu bercampur campur bahasa dan melodi untuk menarik golongan ibu dan perempuan muda singgah dan mula memilih dan membeli. Jika "tidak" di mulut suaminya kata, maka akan ditambah lah dengan kata sinis tepat pada dahi suaminya seperti, "Ah abang ni, dah lima kali purnama kita tak beli langsir. Abang nak saya buat langsir dengan baju kurung dan renda skirt?". Nah. Memang terkedu mulut suaminya lalu terus dibeli langsir (ditambah dengan pakej kain baju kurung dan tudung dan kemudian ke kedai sebelah dan membeli baju dan seluar yang pelbagai saiz dan beraneka warna).

Kerana panas di kedai sewaktu makan-makan, saya dan esisten mengambil cadangan untuk ke tasik berdekatan. Ada pohon dan ada kerusi. Sekurangnya, dapat mengambil angin menjelang petang. Suasanya dingin, sejuk dan menggiurkan. Maksud saya, belon belon warna warni dan aiskrim yang dijual. Saya membayar harga makanan dengan wang gaji bulan lepas. Masih berbaki. Cukup untuk membeli beberapa buah kamera murah. Untuk ke tasik yang menggiurkan, kami berjalan pelan pelan dan tidak disedari, kami hilang dalam ramainya orang di deretan kedai. Hilang dan tersasar. Saya pengsan.

Sedar sedar, saya di dalam kedai kain. Masih panas seperti tadi. Saya didukung esisten di belakangnya. Melalui pantulan cermin di kedai kain yang panjang dan lebar, saya terlihat sebuah senyum yang melebar di bibir esisten saya hingga tidak kelihatan mata, pipi, bibir dan telinga. Oh Tuhan, berikan saya skill untuk membeli langsir.


.

No comments: