Alisnya kemas. Tersusun rapi. Barangkali jikalau ada lapan puluh lima helai alis halus di sebelah kanan matanya, ada juga lapan pulah lima helai alis yang sama diameter halusnya di sebelah kiri mata. Kemas dan berkilat. Menandakan yang dia seorang yang teliti dalam merapikan inci inci mukanya sendiri. Menandakan yang di antara pagi dan tengah hari, dan lewat petang menjengah malam, dia selalu merapikan diri. Ini membuatkan dia sentiasa nampak bersemangat dan berpadu dalam melakukan apa apa kerja dalam harinya yang mencabar yang sekejap tenang sekejap terik. Yang cuma Tuhan sahaja tahu apa yang ada di hadapan, melangkah ke hadapan, ke hadapan lagi dan lagi.
"Dont turn away from me".
Hari ini, dia akan ke bandar. Seorang diri. Tanpa teman perempuan dan laki laki. Tanpa beruang madu nakal dan beruang reben seksi kesayangannya. Dengan mengambil keretapi yang busuk dan panjang, dia bertolak awal awal. Paginya sungguh. Ketika tukang sapu belum mencium anak untuk pergi kerja. Matahari pula baru mahu menggeliat, dia sudah bersiap. Dia mengenakan pakaian yang terbaik yang dia ada. Kemas. Bergosok. Badannya pula disapu dan dicalit wangian itu ini. Tudungnya kemas sekali. Kemas bak alis matanya yang bersemangat dan padu. Sebelum keluar dari pintu bilik, sempat dia berpesan kepada dua ekor beruangnya, "Jangan lebih lebihan bergurau tahu". Lalu dia mencubit sedikit punggung salah satu beruang yang nakal.
"Salvation.. Salvation..Salvation".
Dia terlibat dalam sebuah kerja bakti yang murni. Yang di negara kelahirannya, pada kebiasaan, pelajar yang sebaya dengannya perlu dikerah, diberi elaun seringgit dua, disediakan lauk makanan tengah hari, dijanjikan artis, di sumbat upah itu ini bla bla baru lah akan bergerak dari tempat tidur sedia busuk seperti sarang tikus. Ini perangai tikus. Lebih teruk daripada tikus. Lebih baik duduk di longkang daripada diberi kemudahan untuk belajar. Bentak tikus yang kecewa kerana selalu mati termakan racun sebelum sempat mengenal alif ba ta dan A B C.
Hari ini dia akan mengecat perpustakaan kecil di sebuah sekolah Kristian, menghidangkan setalam hiburan ilmiah kepada anak anak yang tidak sempurna anggota badan di sebuah madrasah kecil dan mengagih agihkan makanan kepada mereka yang tidak berumah daripada pelabagai suku agama. Yang bertuhankan Allah, bertuhankan Jesus, ber iktikad kan ajaran Guru Nanak dan bertuhankan Yahweh, semua akan menikmati makanan yang sedap hari ini. Tiada yang terkecuali. Yang percaya pada ayam datang dahulu sebelum telur atau telur datang dahulu sebelum ayam, semuanya akan dapat sebekas makanan berupa nasi kuning berempah, daging lada hitam yang hangat, sayur, roti puteh dan air yang tiada had boleh di ambil sesuka hati.
"We will pray, we will stay wide open".
Ternyata, dia tidak main main dalam kehidupannya. Masakan dia main main jikalau alis matanya sebelah kiri ada lapan puluh lima dan sebelah kanan juga ada lapan puluh lima.
Dia lenguh dan berinjak daripada berdiri ke kerusi plastik. Ketika dia duduk di tepi meja sambil minum kupi pahit kegemaran, telefon di dalam poket seluarnya bergetar. Dia mengambil telefon dan kembali membetulkan letak duduk punggung nya yang lenguh. Punat tengah di telefon, dia tekan cermat.
Ada sekeping mesej daripada aplikasi Line. Di dalam mesej ringkas itu ada gambar beruang sedang bersenam aerobik. Lengkap berseluar ketat merah jambu. Seksi dan selalu menggeletek. Di bawahnya tertulis, "Pulanglah. Brown nakal lagi..".
Dia meletak sisa kupi di atas meja. Seraya berjalan laju mengambil barangnya. Dia kena pulang. Kerana dia tahu sebab dan tujuan dan agenda terutama mesej tadi sampai ialah bukan kerana "Brown nakal lagi", tetapi ada jasad lain yang malu menaip, "Aku rindu".
"In the day, everything's complex. There's nothing simple. When I'm not around you".
Dam dam dum bim bam. Gedegung debim. Bunyi dram. Dia pun pulang.
Alis matanya tetap menenangkan. Seperti pagi tadi. Tersusun bak buku di perpustakaan di sekolah tadi.