Kingkong dan Ceri merupakan kawan baik. Lagi baik hubungannya berbanding Barrack Obama dengan Shimon Peres. Lagi rapat juga hubungannya berbanding jalur-jalur internet generasi XYZ yang makin banyak G dibelakangnya yang sibuk berperang, bekerja, dan berkahwin di atas angin.
Syukur
mereka lahir di sini dan bukan di Pyongyang milik Kim Jong Un yang garang. Hal
kerana itulah, Kingkong dan Ceri mendapat peluang pada awal perkenalan, untuk bertanya
khabar dan ber’poke-poke’ melalui
Fesbuk. Fesbuk, yang simbolnya huruf ‘ef’ bersaiz besar. Ya benar. Aku tidak
dusta. Berdasarkan fakta tentang alam putaran kehidupan yang tidak kering
dikaji selidik, Kingkong dan Ceri tidak boleh diterima akal sebagai dua jasad
yang reti bersahabat. Tetapi itulah, ini fakta. Dangkal orang kata kalau
percaya teori Darwin, tetapi jikalau baginya itu fakta, sampai mati lah dia
membawa generasi beruk sebagai moyangnya itu ke kubur. Begitu juga aku, kalau
aku kata dan percaya lantas menerima yang Kingkong dan Ceri ini berkawan baik
dan berkenalan melalui Fesbuk, jangan di sangkal dan di kata dangkal. Kalau
tidak, Kingkong akan penyek kau dan kuburkan di bawah pohon Ceri. Noktah.
Semalam
Ceri kepenatan. Kerjanya banyak tidak kehabisan. Dibuatnya satu, bertambah lagi
satu. Di siapkan lagi satu, bertelur lagi satu. Jadinya, kerjanya tidak
habis-habis. Kelmarin, Ceri berkonferens di Muzium Seni Philadelphia berkenaan
lukisan Perjanjian Penn’s bersama Indians. Seharinya dihabiskan dengan mengkaji
siapa pelukisnya, jangka masa lukisannya, genre zamannya, lebar berus catnya,
berapa lapis tekapannya dan kualiti kanvas lukisannya. Yang lebih teliti, Ceri
juga ditugaskan untuk mengenal pasti, siapa kah ketua kampung orang Indian di
dalam lukisan itu. Aduh, penat Ceri. Ruwet betul cikgu seninya.
Pulangnya
Ceri ke rumah, dia berbaring angkat lengan dan meletakkan silangan jari di
bawah kepala di atas bantal yang bersarung bunga-bungaan kecil. Yang indah
sepertinya juga. Ada anak patung beruang di pinggulnya, dia buat tidak tahu.
Tiada masa untuk melayan kerenah anak patung yang mahu digaru dagunya itu. Ada
roh ikan emas yang berenang di biliknya, pun dia buat tidak tahu. Kerana roh
itu semakin pudar warna dan akhirnya akan bersatu dengan warna dinding. Semua
dia buat tidak tahu. Ceri termenung. Matanya melirik tajam pada hujung kipas.
Kakinya bergerak sedikit-sedikit, ingin mencari panas. Hari ini sejuk. Hujan
turun bagai buih yang membawa kenangan. Lambat, sejuk dan mudah terganggu.
Plop.
Sekejap dia
terpejam mata, lantas terheret ke dalam lubang mimpi hitam lagi vakum dan
sedar-sedar, dia terbaring di tepi Kingkong yang sedang meniarap.
“Hey Ceri
yang manis, kenapa muram dan masam seperti jeruk mangga?”
“Kingkong,
aku kecewa sekali dengan kau.”
“Ah kenapa
pula Ceri. Bukankah aku selalu membalas ‘poke’ kau di Fesbuk?”
“Bukan
sebab Fesbuk atau poke lah Kingkong. Kau tidak tahu masalah aku.”
“Oh kalau
begitu, kau ceritakanlah pada aku. Mana tahu aku boleh tolong.”
Sekonyong-konyog,
Ceri pun bercerita. Mengenai konferens lukisan, rumah yang uzur, kawan yang
memuntahkan, komputer yang panas, makanan yang mahal, kasut yang pelbagai, strawberry
yang masam, hutan yang tebal, orang yang mabuk di tepi jalan dan berjuta lagi.
Setiap apa yang Ceri ceritakan, Kingkong telan satu-satu dan cuba memikirkan
penyelesaiannya. Kingkong tidak pernah bosan. Dia tahu Ceri dalam masalah dan
ketika inilah, dia perlu bertindak sebagai satu jasad yang gagah. Iaitu sebagai
seekor Kingkong. Kerjanya, dia tolak ketepi. Buku statistik dan buku
hasut-hasut, dia tolak ke bawah katil. Pokoknya sekarang, masalah Ceri menjadi
nombor satu.
Bagi
Kingkong, masalah dan cerita Ceri ialah satu tulisan perjalanan seorang pengembara yang
manis seperti gula tebu, keras seperti pinang muda dan menarik seperti merah
ceri.
Kingkong
terlatih dengan ayat yang panjang dan bernoktah. Hobinya suka membaca
sedikit-sedikit dan berulang kerana ini akan membuatnya lebih mudah faham. Bahan
bacanya tidak ada batas. Seperti lagu yang didengarnya juga. Tiada terbatas. Jika
Ceri bercerita, Kingkong suka mendengar dan berfikir dalam diam. Ada masa dia
akan berkata sesuatu, tetapi perlu dihentikan kerana selalunya, kuota ayatnya
sudah terlebih sehingga melimpah ke kuota hari esok. Semalam Kingkong baca
tetang Marcos. Kelmarin Kingkong baca tentang Belacan di Tanjung Dawai. Dan
tadi, Kingkong baca tulisan ringkas tentang angkat senjata di Albania.
Kingkong
banyak baca. Dan banyak lupa kerana kerap tertidur dan bermimpi ketika membaca.
Plop.
Ceri
menghabiskan ceritanya dengan keluhan yang padat dan berat. Ada kerut di
dahinya. Ada juga titis peluh yang tidak kelihatan dengan mata kasar. Kasihan. Nampaknya
Ceri sungguh resah. Kepalanya berdenyut. Diakhir katanya, Ceri bertanya,
“Lalu
bagaimana Kingkong? Apa penyelesaian yang kau sediakan untuk ku?”
Kingkong
menjawab dalam nada yakin sebagai seorang Kingkong,
“Nampaknya, kau merindui
aku hai Ceri yang budiman.”
Plop. Plop.
Ceri
terjaga daripada tidurnya. Mulutnya menguap. Matanya sepet dan rambutnya
melekat di bahu kerana tertindih. Pipinya merah kerana tidur mengiring. Anak
patung beruang di pinggulnya, dia ambil lalu peluk. Masalahnya yang berbondong
tadi, dia sangkut di kepala kerusi seperti menyangkut baju tidur pagi semalam.
Harum dan mahal.
Dia ingin
ketemu Kingkong dalam mimpi dan ‘poke’ Kingkong sampai pagi. Sementara di
sebelah sana, Kingkong sedang baca buku resepi dan bersedia untuk di ‘poke’
sampai bila-bila.
No comments:
Post a Comment