Semua yang lalu di depan aku, mukanya garang-garang.
Mungkin dia tidak cukup makan tengah hari mungkin anak dia mengamuk minta dibelikan mainan terkini mungkin yang akhir sekali, mungkin bini dia penat dan terlupa masak lauk pauk untuk makan tengah hari. Lalu dia keluar makan di luar dan merasakan serba tidak cukup menepati seleranya di luar sana, dia pun berjalan dengan muka paling garang. Syaitan pun tidak mahu ikut dibelakangnya. Kerana dia garang sangat.
Setelah penat bergarang, dia menapak ke masjid yang ada satu menara kubah runcing warna emas.
Yang di dalam masjid semua garang-garang juga. Ketika dia masuk ke dalam saf, orang di sebelahnya tiba-tiba menjerit meracau mengamok meroyan mencarut semua yang haram-haram dan mengoyakkan baju pantas undur ke belakang.
Praaaangggg.
Cermin tingkap belakang sisi masjid hancur pecah berderai. Tok imam tidak jadi menjunjung takbir. Semua serentak pandang ke belakang. Yang mereka nampak cuma ada satu belah selipar yang ada tulis Google. Orang yang mengamuk tadi telah hilang. Jatuh ke bawah. Dari tingkat tiga.
Always be you and me. Forever be eternally. Always be you and me. Forever be eternally. Woo woo.
Lagu di kedai baju bundle sebelah masjid beralun mendayu-dayu. Lagu tentang kisah cinta ibu anak itu, mengiringi kematian orang mengamok bermuka garang tadi.
Dia yang bermuka garang yang lalu di depan aku tadi, tidak jadi solat. Dia bergegas keluar dari masjid.
Mungkin dia mahu pulang ke rumah dan meminta maaf pada bini tersayang kerana garang sangat tadi.
No comments:
Post a Comment