Robek Aku Untuk Bukti. Akronimnya Raub. Aku ke Raub. Aku melihat merpati sambil mendukung buah hati. Bersama kamera yang kalau mengikut umur bayi, dia sudah pandai berlari. Kamera yang membantu sungguh. Nama dia Abdul Ricoh. Mata dia luas. Sepuluh kali boleh zum.
Aku makan ikan paten. Ikan paten di Raub lemaknya tebal. Aku melihat orang mengangkat sumpah sebagai suami isteri. Kemudian meletak tapak tangan di ubun ubun. Kemudian menangis terharu selaku seorang suami. Sambil mendukung buah hati. Aku melihat riak wajah orang yang gembira kerana penyatuan dua keluarga. Yang lebih banyak daripada orang yang hadir ialah, flash kamera. Aku juga makan apam yg dikukus di dalam loyang. Orang Raub ramah dengan jamuan. Orang Raub juga tidak banyak sembang tentang politik. Mungkin ikan paten telah menyatukan semua pihak.
Buah hati aku ada kaki. Kaki dia gagah. Ada muscle kuat dan kental. Tidak seperti ikan paten yang berlemak. Mana tidaknya, dia pernah sampai di penjara yang pernah mengurung Al Capone. Dia sudah berjalan jauh. Cuma tidak pernah ke padang pasir. Dan sekarang, perjalan dia akan selalu berulang alik melalui jejantas lut sinar yang ada banyak pokok. Yang akan ditebang buruh perempuan. Di Kuala Lumpur.
Kalau Tuhan cipta kaki dia banyak seperti lipan atau gonggok sekalipun, tetap aku akan dukung. Di darat mahupun di laut.
Buah hati aku ada senjata di siku. Siapa kacau buah hati aku, akan aku ranapkan kelongsong biji mata nya. Kemudian aku akan letak sekejap buah hati aku untuk memberi ruang kepada aku untuk membuang jasad pengacau tadi ke laut di tepian pulau tempat penjara yang telah mengurung Al Capone. Mungkin ada jos puteh. Aku berharap ada naga laut.
Di Raub, kami beli jambu warna merah. Dan sebiji betik gedempol tapi lebam sikit yang berharga seringgit. Semoga zat zat buahan menjadikan badan kita lebih sehat dan mudah lawas.
Kepada buah hati aku yang sudah berada di gelanggang, tunggu aku pulang bersama rendang.
Aku sudah di Seremban. Bersama lagu lagu Meor yang diberi irama Inggeris. Selamat malam hari ini. Semoga ketemu lagi.
No comments:
Post a Comment