Kita tahu apa. Kita orang tak sekolah. Satu campur satu dapatlah jawabnya dua. Itu pun tahu kerana dengar iklan motivasi dalam radio. Tapi kalau ditanya dengan adanya bahagi, perpuluhan atau pecahan, nahaslah. Memang jawapan yang akan kita beri, tak kena langsung dengan jawapan yang betul. Kita tak macam orang lain, nasib selalu ada tuah dalam Melayu. Lucky dalam Inggeris. Ada ong. Kita punya nasib, selalunya boleh di agak. Lepas tak baik, tak baik lagi. Lepas tu tak baik lagi. Entah bila baik, Tuhan dan malaikat saja tahu. Bukan kita nak sesal dengan apa yang Tuhan bagi, tapi apa yang Profesor kata dalam Tivi, kita ini kena ubah mindset, baru nasib kita berubah. Tuah akan datang. Lucky akan menjengah. Tapi, apa entah mindset, kita tak tahu. Kita pun tak pasti di mana letaknya mindset untuk diubah. Jadi kita dengar saja lah tanpa berubah.
Kita pandang apa benda pun, nampak ada A B C yang terabur seperti buah pauh luruh. Lambat menjadi ayat. Kadang kita cuba susun tapi tak menjadi ayat cantik. Tapi jadi jamban. Jadi haiwan seperti sotong. Jadi pokok kelapa upih kering. Jadi selipar cap burung. Begitulah. Nak kata kita ni rabun, tidak pula. Cuma malam ini, mata kita merah menggatal. Seperti ada semut api baru lepas kekah. Gatal mata, kita genyeh kuat kuat. Takut pula tercalar kanta mata. Doktor kata genyeh kuat, mata cepat punah. Tambah doktor, mata tidak ada jual di market. Tapi sebab gatal semacam semut api baru lepas kekah, kita genyeh kuat kuat. Bagai pesan doktor tadi, halus halus hilang bagai kabus pagi yang akan terbit sekejap lagi.
Kita tak reti bernapas elok elok. Ada masa, napas kita boleh jadi seperti napas badak sumbu di Savana yang baru lepas kejar api. Cungap cungap naik turun dada. Kita cuba susun napas seperti susun mainan jengga. Rileks dan tidak jatuh. Tapi tak mampu. Oleh kerana kegagalan itu, kita cuba susun seperti susun blok domino. Tidak menjadi juga. Teres domino jatuh setelah sampai blok ke tiga kerana napas kita tak elok. Kejap naik kejap turun. Entah apa ubatnya, kita tak tahu. Orang tepi jalan kata, baca buku sejarah raja Melayu sambil teguk teh kayu manis. Nescaya napas akan elok. Kita pun cuba lah. Kita baca sejarah kerabat Johor. Kita teguk teh kayu manis dari Ceylon. Tidak menjadi jugak. Karut.
Napas kita tetap tidak elok. Mata kita pun makin gatal. Sepertinya mahu rabun. Mungkin ada semut api yang sabotaj mata kita. Tentang nasib, semoga esok kita lebih lucky. Kita nak berdoa, semoga kejayaan kita ini boleh di bangga hingga ke bulan. Seperti kemenangan orang Cina melawan Mongol. Kita kena letak satu surat supaya kita jadi orang baik baik dan sumbat dalam kuih bulan, dan hantarnya pada alamat kita sendiri.
Dengan itu, baru kita tahu. Ubah mindset ini mungkin maknanya, kurangkan makan benda bergula.
No comments:
Post a Comment