Salam
Satu Malaysia.
Kehadapan
YB yang saya kasihi. Ingin saya ucapkan selamat pagi tanpa apa-apa kata berlapis supaya YB merasa senang apabila membaca surat saya yang saya telah selitkan di pintu pagar rumah agam tiga tingkat YB di
tepi pantai yang pokoknya sudah habis YB tebang kerana ingin mendirikan kandang
kuda baka dari Timor Timur. YB tunggu kejap. Jangan berhenti baca.
Apa khabar YB bersama isteri tercinta
dan anak-anak termanja? Sihatkah YB dan mereka? Bagaimana pula dengan orang-orang bergaji YB?
Drebar YB? Pembasuh baju YB? Penggoreng telur YB? Pencuci akuarium ikan hiasan laut YB? Penjahit butang baju dan ‘boxer’ YB? Saya
berdoa ke hadrat Tuhan agar mereka dilimpahi
rezeki yang tidak putus sementara masa bekerja dengan YB. Jika mereka sakit,
saya doa disembuhkan. Jika mereka miskin , saya minta dikayakan. Jika mereka
tiada anak, saya minta dikurniakan. Dan jika mereka tidak boleh mengundi kerana tiada
kewarganegaraan, saya minta merayu juga mereka diberikan hak mereka sebaga
permastautin tetap dan dapat mengundi YB pada hari membuang undi nanti.
Barulah YB akan berasa ringan dan berlapang dada jika masih menjadi YB pada
penggal hadapan. YB senyum
kan? Saya tahu. YB juga yang mahu cuba sepenggal bukan? YB arahkan penyokong muda hebat berkarisma YB
mengedarkan stiker “U.A.E.K (Undi Aku Engkau Kaya)” pada hari perhimpunan
minggu yang sudah. Jadi tidak salah
kalau saya berdoa agar YB dan
kawan -kawan seperjuangan YB yang memperjuangkan raja atau bangsa atau agama
masih dilanjutkan kedudukan.
Mudah mudahan ya YB. YB tunggu kejap. Jangan berhenti baca.
Senang kah hidup YB hari ini setelah mendapat tepukan gemuruh
daripada hadirin yang hadir pada ceramah perdana yang membincangkan isu hal-hal semasa malam semalam? Hadirnya ramai sekali. Saya bisa pengsan jika berada di situ. Orangnya
sesak ya ampun. Tua laki-laki dan tua
perempuan. Budak-budak. Muda-mudi. Semua ada. Kata orang, jika pengunjung yang
hadir lebih daripada bilangan kerusi, itu tandanya ramai. Itu namanya
perhimpunan raksasa. Itu satu kejayaan. Itu menunjukkan sokongan yang tidak
berbelah bagi walau sepotong. Itu juga yang akan diletupkan esok pagi oleh
semua pihak yang berwajib. YB tunggu kejap. Jangan berhenti baca.
Hal itu juga sudah memadai untuk YB
mengarahkan kawan YB di pejabat pusat untuk mengira dan membuat sidang akhbar.
“Kehadiran ke perhimpunan aman YB
mencecah ratusan ribu penduduk setempat. Perhimpunan haram Agogo hari lepas
tidak terlawan”. Saya cuma cuba meneka tajuk akhbar pada esok hari. Tidak
salah kan? Kerana saya pun ada hak untuk meneka. Sedangkan tidak meneka pun
satu hak, apatah lagi jikalau meneka. Tak gitu YB? Agak agaknya betukah YB apa
yang saya teka?
Oh ya, sudahkah YB menguar-uarkan
kepada wartawan surat khabar sensasi metropolitan yang dikarang pujangga negara
untuk membuat liputan di hadapan wajah segar YB? YB kena cepat kerana wartawan
sekarang kerjanya banyak. Ke sana ke mari. Habis mudik ke hulu, mudik pula ke
hilir dan begitulah nasib wartawan sensasi metropolitan hari ini. Tidak menang
tangan katanya orang Melayu kita. Sudah YB hubungi mereka?
Belum? Ya Rabbi Ya Tok Tok Syeikh Juak-Juak
Negeri, YB sibuk mencetak stiker sehingga lupa menghubungi wartawan sensasi
metropolitan? Mengapalah menteri-menteri tidak ingatkan? Adakah kerana mereka
memboikot YB disebabkan kekecohan yang berlaku hari lepas? Kasihan YB. Sudahlah
bongsu. Diperlakukan begitu. Tak apalah YB, serahkan pada saya. Saya akan
bereskan. YB ‘pleeeaaasssseee’ tunggu kejap. Jangan berhenti baca.
YB, terima kasih di atas aturan
makan beradab yang telah YB susun agendanya itu dengan penuh teratur di kelab
orang main guli. Saya cukup senang sekali dengan itu. Bukan apa, YB umumnya
selalu sibuk dengan hal- hal negara
bangsa (sedangkan Malaikat pun tahu yang menteri semuanya sibuk, tetapi saya
tetap tulis supaya pembaca dapat juga sama sama tahu).
Dalam kesibukan YB yang tidak
berpenghujung kecuali mati itu, masih juga YB sempat beramah mesra bersama anak
dan orang yang tiada kaitan persaudaraan langsung dengan YB (jangan mainkan hal
persaudaraan yang dipetik dengan kesamaan atuk Adam kita kerana walaupun kita
sama baka daripada atuk Adam, salasilah dan lencongan tetap lain. Kalau YB mainkan
juga, akan saya cubit-cubit muka YB sewaktu hari PRU nanti).
YB tunggu kejap. Jangan berhenti baca.
Syabas YB. Saya cukup berbangga
dengan YB. Sehinggakan apabila saya menaiki motokar dan ternampak kain-kain
rentang, gambar-gambar YB, bendera dan panji-panji YB, saya akan ‘salute’ spring tanpa berfikir
panjang. YB ialah seorang yang berani, bijak dan menyenangkan. YB bukan sahaja
telah menukilkan rasa cinta saya kepada YB dan membuka mata saya dalam hal-hal
politik semasa yang ‘cool’, malah YB
sedikit sebanyak telah menerbitkan rasa simpati saya kepada YB dan rasa waspada
saya supaya pada hari akan datang, saya haruslah lebih kerap dan tidak
teragak-agak untuk membaling dua botol molotov koktel ke laman arnab rumah agam
tiga tingkat YB sehinggakan YB lari turun buka pintu dan membaca surat ini
sekarang. YB tunggu kejap. Jangan berhenti baca.
Terima kasih YB. Jasa YB kepada
rakyat sini dan bukan rakyat sini, amatlah disenang-senangi.
Salam Satu
Malaysia YB.
