10
Malam ini aku pergi belayar di sebuah laut nun gelap airnya. Ombak ganas-ganas terajang dinding perahu. Angin usah dikata. Bagai langit selepas dimaki ekspresi garangnya dan ia bertiup lalu memaksa layar berkibar megah seperti jalur gemilang yang gah ditiup angin pagi Isnin pada perhimpunan rasmi.
Aku bertemu nakhoda kapal merangkap kapten. Kapten asal telah karam ditelan jerung putih semasa membetulkan sauh yang tersangkut pada batu-batuan dasar. Nakhoda kapal merangkap kapten membetulkan topi dan silang pedangnya pada pinggang.
Aku bertanya,
"Hey nakhoda, macam mana mahu kawal ombak laut?"
Asap cerut dari Cuba dia hembus pelan-pelan. Masuk kerongga hidungku dan selebihnya hilang ditiup pawana laut yang berbau hanyir dan itu lumrah.
Dia membalas,
"Kau kelasi muda, kau kena faham corak ia datang dan kau kena pusing stereng kapal ikut corak alur dia datang juga. Bila kau buat begitu, kapal akan terus ikut ombak dan kau akan senang mengawalnya."
Semasa dia menghabiskan ayatnya, tidak semena-mena buritan kapal tersangkut dengan tentakel-tentakel berselirat sang kurita. Kapal tersengguk ke depan. Gerak kapal yang awalnya laju meluncur terhenti tiba-tiba menyebabkan aku terpelanting dan sebelum jatuh ke laut, aku sempat memegang stereng. Nakhoda merangkap kapten tidak sempat berpegang apa-apa dan terus terjunam ke laut berair gelap dan garang.
Aku bingkas tarik diri ke atas. Kapten tidak selamat. Ia jatuh dan hilang jasadnya. Dimakan jerung putih lagilah gamaknya. Gamaknya dan itu cuma taakulan aku. Aku sedekahkan doa-doa padanya moga dia selamat. Aku ke buritan kapal untuk melihat kurita. Dengan senyum lebar, kurita melepaskan tentakelnya dan aku tahu dia akan datang lagi.
Aku kembali ke dek kapal, memegang stereng dan cuba membaca jalur dan alur ombak agar aku boleh mengawalnya. Kapten yang jatuh dan hilang tadi aku ikhlaskan hati untuk tidak bersedih atas pemergiannya kerana aku tahu dia seorang kapten yang mampu melawan arus dan mampu membaca ombak.
Aku mengangkat tabik untuk kapten di saksikan stereng kapal dan dibuai ombak laut turun naik dan turun naiknya infiniti.
*tamat*
3 comments:
dan kau lah generasi seterusnya yg akan memandu hidup mati orang orang kapal.
( ;
abestu?
aishah - hmm. entahlah. hmm.
butet - amende? ;)
Post a Comment