Monday, June 28, 2010

PAKCIK SEMAN DAN MUSTAFA SPEK MATA.

00058



Asyik asyik, yang menegur pakcik Seman ketika dia sedang bekerja ialah, si Mustafa Spek Mata. Mustafa Spek Mata ialah seekor cacing tanah. Pakai spek mata. Rabun jauh katanya. Susah nak lihat benda jauh jauh. Dia pakai spek baru dua hari lepas. Takut eksiden.

Mustafa Spek Mata tak mahu jadi seperti si Minah Donde. Minah Donde semalam mati tragis putus urat perut kerana melintas jalan dengan membuta tuli. Lori minyak Petronas enam belas tayar, boleh dia tak nampak. Kata forensik, dia rabun. Aduhai.

Agak menyedihkan kerana Minah Donde meninggalkan anak yang masih dalam cangkerang. Mungkin anak anak tu akan mati dimakan si Leman Lidah Cabang. Harapkan suami jaga anak? Heh. Harapan. Lepas berkahwin, terus hilang cari bini lain. Ouh Tuhan, sebegitu sekali kitar hidupan.

Pakcik Seman pemotong rumput. Ambil upah potong rumput halaman rumah siapa siapa yang mengarahkannya. Kadang kadang, kerja kontrak dengan kilang buat kretek yang tak berapa jauh dari kampung nya. Walaupun umurnya senja dan berangin, dia masih bekerja. Kerana baginya, nyawa Tuhan tiup untuk dia berjalan dan berkudrat dan sembahyang hingga mati.

"Setafa, kau tak tengok bola semalam?"

"Tak la pulak. Aku tertidur. Kenapa?"

"Saja tanya." sambil menyalakan kretek, Pakcik Seman memandang ke langit, melihat asap berkepul. Bau tembakau campur cengkih dan lawang. Indah nian baunya. Sambil dia tengok langit, jarinya terpetik petik mengikut lagu Rindu daripada kedai kopi yang bertiang empat. Uzur benar.

"Setafa, sekejap lagi, ikut aku sembahyang Asar mahu?"

"Haa. Molek la tu. Aku pergi ambik wuduk sekejap ya.. .. .

"Fuh sejuk air. Sudah tertib wuduk aku. Jom Pakcik Seman."

Pakcik Seman turunkan dan halakan tapak tangannya, dan Mustafa Spek Mata naik ternyiut nyiut. Pakcik Seman letak dia di atas bahu. Pakcik Seman begitu waspada kalau bawa Mustafa Spek Mata jalan ke mana mana. Kerana, pasti ada burung yang mahu menyambar Mustafa Spek Mata. Makhluk ini celaka bagi Mustafa Spek Mata.

Mustafa Spek Mata ada cakap, banyak saudaranya mati kerana makhluk terbang. Tok Leman Hilir, Mek Jah Latip, Semail Kertas, Pak Ngah Duda, Naimah Cu Ripin. Semua itu mati ketika sedang membajak di kebun sawi. Mati tanpa kesan. Tanpa titik darah untuk dijejak. Dan lepas itu, bagi generasi Mustafa Spek Mata, makhluk terbang cukup sinonim dengan celaka.

*

Usai solat, Mustafa Spek Mata menangis. Pakcik Seman dengar doanya,

"Tuhan, berikan aku anak anak yang mampu membuat aku senang di dunia dan di sana. Aku cuma makhluk tidak bertulang, tapi aku bukanlah seperti siapa siapa. Aku cuma aku. Sebagai hamba yang kerap ulang dosa dan pada Engkau aku menjadi hamba."

Usai solat, Pakcik Seman menangis. Mustafa Spek Mata dengar doanya,

"......."

Doa Pakcik Seman penuh dengan sunyi....

Mustafa Spek Mata cabut spek. Seka air mata. Selang sepuluh minit, Pakcik Seman kembali angkat dia ke bahu, dan berjalan pulang. Kebun sawi masih luas untuk diusahakan.

"Waspada dengan makhluk terbang." Pakcik Seman mengingatkan Mustafa Spek Mata. Dalam perjalanan pulang, Pakcik Seman bersiul lagu Oh Bulan nyanyian Kembara. Dan Mustafa Spek Mata, dia masih bersungguh mahu menyambung titik titik doa sunyi tadi, agar dia fahami.

Titik titik doa sunyi tadi pasti bermakna. Sebab itu Pakcik Seman menangis. Atas nama Tuhan yang mencipta petang, Mustafa mahu merungkai doa Pakcik Seman.





^tamat^

2 comments:

AISA. said...

mustafa spek mata, Allah itu maha pengasih. :)

gReeN iS pEAce said...

hoho..post2 ko sejak dua menjak ni buat aku rasa nak menangis..huu~