Monday, June 28, 2010

SURAT UNTUK GADIS DARI MATAHARI.

00059




Kodak Ultramax 400.
Diana f+.

*



Kehadapan gadis dari matahari yang mengerlip dan melambai. Apa khabar? Sihat dan sejahtera lah hendaknya di peluki doa doa berbisa dan jauh yang selalu aku utuskan. Maaflah. Aku utuskan doa tanpa setem yang mahal. Dan tanpa alamat yang mewah. Dan tanpa sampul surat yang semerbak.

Bagaimana cuaca di atas sana? Lebih baik dari sini atau lebih teruk dari yang dijanji? Harapnya, lebih baik dan indah indah sahaja. Surat ini aku tulis semasa aku enak di bisik bayu petang sambil melihat perarakan awan awan. Seragam sungguh. Tak sia sia mereka berlatih. Ada juga awan hitam melintas semasa perarakan, tapi biasalah, itu hakikat peredaran adik beradik awan.

Untuk pengetahuan gadis dari matahari, tinggi aku sekarang mencecah angin dingin yang mampu menyapa dahi. Dan kini, aku tidak perlu lagi cemburu untuk melihatmu. Aku kata begitu kerana, cuma aku sahaja pohon kelapa di sini. Yang lain cuma pohon renek renek yang tak mampu melawan tinggi aku.

Ada sekali, orang datang dan cuba tebang aku kerana katanya, aku mengganggu trafik udara. Tapi, Abang Gra datang, petik nyiur aku dan timpakan kepada kepala penebang. Mati penebang itu dua hari kemudian. Kata Abang Gra, setelah insiden itu, tujuh puluh keturunan penduduk kawasan itu takkan berani kacau aku lagi.

Gadis dari matahari, aku pasti, tidak akan lama aku tinggi sebegini. Pasti akan ada pohon kelapa lain yang datang meninggi sama. Akan ada yang cuba melawan tinggi aku. Akan ada yang akan menghantar surat untukmu. Pada masa itu, entah entah Abang Gra sudah mati bersama matinya angin dingin pengusap ubun aku. Kalau mati angin dingin, maka mati jugalah aku.

Tapi jangan dirisaukan sangat gadis dari matahari. Semalam ada ejen berkot hitam berkilat datang. Minta aku tandatangan satu surat perjanjian. Aku tandatangan tanpa banyak berkira kira. Ianya berbunyi,

"Kalau saya, yakni pohon kelapa, tumbang, ditebang, atau ditandingi tingginya hingga terasa cemburu dan terhina, maka gadis dari matahari akan diambil dan dilahirkan kembali menjadi benih kelapa di sebelah saya walaupun saya sudah mati tumbang atau ditebang. Selagi tunggul saya masih ada, selagi itulah, gadis dari matahari akan di sumpah menjadi benih kelapa yang cuma bercambah pucuknya. Tidak tinggi tinggi. Noktah. Perjanjian tamat."

Setelah selesai menandatangani surat perjanjian, bungkusan daripada gadis dari matahari baru sahaja tiba. Ada di dalamnya sebuah topi dan sekaki payung untuk aku. Aku tersenyum kerana aku tahu, gadis dari matahari akan memancar dan kadang kadang aku akan basah kerana hujan.

Kalau aku rindu. Aku akan meniti atas bibir gadis dari matahari. Kalau aku buntu, aku akan merayu dalam benak hati gadis dari matahari. Yang penting, jangan kau gerhana atau gugur tanpa khabar.

Sekian surat untuk gadis dari matahari.
TERIMA KASEH.



*



^tamat^

1 comment:

Afe Oth said...

mesti HOT kan gadis dr matahari.

aww.