Friday, June 11, 2010

SAYANGNYA, BETTY MATI DIBUNUH.

00052



Betty seorang model. Model beg plastik. Beg plastik merah. Yang selalu diberi peniaga peniaga pasar tani pukul tujuh pagi sewaktu kumpulan ibu menawarkan harga untuk membeli daun kesum, daun pandan, atau batang keladi. Selalunya, kumpulan ibu akan membeli daun pandan kerana kepelbagaian gunanya.

Jarang sekali kumpulan ibu membeli batang keladi kerana ramai yang tidak ngerti cara untuk menghilangkan miang keladi. Nenek nenek tahulah. Biasalah, kumpulan ibu urban.

Kerja lain Betty sebelum dia menjadi model beg plastik merah ialah peniaga santan. Dia berniaga santan. Menggunakan modal empat ratus sebelas ringgit lapan puluh lima sen, dia membuka gerai menjual santan. Dia membeli mesin parut dan perah. Mencapai setahun beberapa hari dia berniaga santan, merasakan sudah cukup kaya dan bosan dengan bau bau santan, Betty tukar karier.

"Encik, saya nak jadi model. Saya sesuai tak?"

"Hmm. Saya ada satu tempat kerja yang masih kosong. Awak mahu? Jadi model beg plastik merah."

"Woww. Bestnya. Gaji lumayan?"

"Gaji awak, lebih daripada gaji pegawai kerajaan. Lebih daripada gaji siapa siapa yang bekerja dengan kerajaan. Awak akan kaya. Boleh beli pulau dan sebuah bot."

"Wah, itu bagus. Esok saya datang kerja ya. Pukul tujuh saya datang. Terima kasih encik. Banyak terima kasih."

Semalam Betty tidak tidur memasang angan angan untuk menjadi model beg plastik merah. Yang selain digunakan untuk membungkus, digunakan juga untuk membuang sampah. Buang tulang ikan, najis bayi, pembungkus Cadbury, kad jemputan kahwin lama, sisa sayur, surat yang silap taip, kad top up telefon, dan pelbagai. Sungguh pelbagai.

Sayangnya, Betty mati dibunuh.

Semalam juga, belum sempat hari ini, Betty mati dibunuh. Badannya diracik halus. Dan dibuang dalam beg plastik merah. Beg itu dicampak ke belakang blok blok rumah. Gelap dan ada anjing gigi tajam seperti mata gergaji. Daging Betty dihurung lalat dan anjing, dan di bawa ke serata arah.

Sayangnya, Betty mati dibunuh.

Daging yang kecil, ditelan tikus dan tikus masuk ke pembentung dan ke arah mana tikus menuju selepas itu, tiada siapa tahu.

Sayangnya, Betty mati dibunuh.

Daging yang sederhana besar, ditelan kucing dan anak anaknya dan kucing menyusup ke pintu pagar siapa siapa sahaja dan tidur kenyang.

Sayangnya, Betty mati dibunuh.

Daging yang besar, ditelan anjing dan geng geng nya. Anjing lalu berjalan dengan perut penuh. Pergi ke taman perumahan lain. Mencari rezeki untuk esok.

Kata polis, Betty dibunuh kerana, ada orang cemburu kerana dia dapat menjadi model beg plastik merah. Entahlah, sampai sekarang, tiada siapa tahu.

Tapi, yang pasti, hati Betty telah di bawa ke seluruh pelusuk tempat oleh tikus, kucing dan anjing. Mungkin Betty aman kerana masih dapat mengembara jauh walaupun sudah mati. Mungkin juga Betty sengsara kerana, dia tidak sempat memperagakan beg plastik merah.

Sayangnya, Betty mati dibunuh.





^tamat^

5 comments:

AISA. said...

yo soy betty la fea.
*ishhh*

ta nun uk said...

usaha ku gagal..

gReeN iS pEAce said...

seram je

Aizuddin Jaafar said...

Mungkin dia di bunuh oleh pencinta alam sekitar. Yang tak mahu beg plastik di gunakan di atas bumi ini.

fatah85 said...

aisa - tu bukan nama cerita ke?

tu nun uk - usaha apa nih?

grin - sedap cerita seram kadang kadang.

abg din - hahaha. ada betul tu.