00067
Bo sambung siul. Kali ini, lagu ketiga (tiga minit lima puluh saat) dalam album Pleng Ruk Jark Jai Ying. Penyanyi yang sama. Suara lunak. Selunak pipi, dagu, bahu, dan rambut-rambut penyanyinya sekali. Tulus dan santun bahasanya, membuatkan Bo merasa, jika dia pandai menari, dialah yang paling sopan dan anggun dalam ramai-ramai jasad manusia di Nusantara. Jika Bo pandai menari, tiada lagi artis yang mahu menuntut di kelas-kelas tarian yang mahal dan rumit langkah tarinya. Semua akan datang menuntut dengan Bo di rumahnya. Bayaran untuk seorang ialah lima ringgit. Bo akan ajar dari awal cara melembutkan jemari dan mengelipkan mata, hingga kepada langkah terakhir, iaitu, menipiskan suara.
Senipis angin yang lalu pagi tadi. Yang membangunkan Bo, dengan ucapan, “Selamat Pagi Bo.”
Hai. Nama saya Bo Tiak. Lahir di utara Siam. Ada tiga adik beradik. Satu kakak (yang sungguh rumit untuk membesarkannya). Satu abang (bekerja sebagai buruh). Saya anak bongsu. Selalunya, orang kata anak bongsu paling manja. Tapi bagi saya, bongsu lah yang paling seksa kerana tiada adik yang mahu dibasuhkan beraknya. Tiada adik yang mahu dibancuhkan susunya. Dan bila saya jadi suami, saya akan kekok tentang itu. Lagi satu, saya suka memasak. Sos nam pla yang masam seperti sos buah pic tidak boleh tidak ada dalam masakan saya. Dan saya suka pedas. Ya. Pedas yang berapi.
Hai, nama saya Bo Tiak. Senang kan nak ingat nama saya.
Ibu ayah saya bekerja di kampung. Menanam ubi, tomato, terung, bendi, petola, semangka, mangga, sirih dan bermacam sayur dan buah lagi. Cuma kobis dan stowbery ibu ayah saya tidak tanam kerana suhu yang kadang-kadang sahaja dingin. Kambing, itik dan ayam juga ibu ayah saya bela. Senanglah kalau nak makan daging dan telur. Tidak perlu ke pasar membeli. Ayah kadang-kadang menambahkan pendapatan kami sekeluarga dengan mencari petai. Bolehlah duit itu digunakan untuk membayar bil api dan bil telefon. Air percuma. Kerana rumah saya masih menggunakan telaga. Ibu pandai menganyam mengkuang. Menjadi tikar. Dan dijual. Duit digunakan untuk membeli kopi, gula, garam. Kadang-kadang, saya akan minta sepuluh ringgit untuk membeli buku dan alatan menggaris dan menulis.
^bersambung^
2 comments:
bo tiakk.
kawan lama!
esh. macam mana kenal ni?
Post a Comment