00067
Jiran saya Pakcik Leng. Ada seekar setengah kebun laici. Kalau musim buah, bukan sahaja manusia sahaja yang jadi musuh Pakcik Leng, malah semut, lebah, ulat, dan kadang-kadang, kalau bernasib baik, babi hutan yang bertaring lebih sepuluh sentimeter pun akan jadi musuh Pakcik Leng. Semua sukakan laici. Kerana putih isi manisnya. Kerana merah kulit menggerutunya. Ohh laici. Hinggakan syaitan yang suka siul pun suka, ternyata kau bukan sebarang buah.
Aduh. Terlalu banyak tentang saya dan jiran. Maafkan saya. Saya memang suka bercerita. Pernah sekali cikgu kelas panggil ibu ayah kerana ……… Tengok, bercerita lagi. Sudah-sudah lah Bo Tiak. Pergi buka buku. Esok pagi sekolah kena pergi awal. Cikgu nak periksa kuku dan rambut. Pastikan potong rata kesemua kuku. Kesemua sekali. Kalau tidak, punggung akan ditepuk dengan rotan besar Cikgu Wu Lai. Pok. Pok. Pok.
Saya pernah kena tepuk tiga kali. Berbekas hingga seminggu. Sakitnya, lagi sakit daripada menelan batang ros yang berduri hidup-hidup. Di kampung saya, batang ros boleh dijadikan ubat.....
Sudah Bo Tiak. Berambus dan pergi ambil buku dan pengetip kuku. Baca dan tekun.
Awak nak tahu tak? Semalam Bo Tiak terima surat. Dalam surat, ada satu kelopak teratai kering. Warna merah jambu bercampur ungu. Tapi, kerana kering, ia menjadi warna cokulat. Di atas kelopak, tertulis perkataan ‘Saya Suka Awak’ dalam tulisan Siam. Bo Tiak reti membaca, tapi tidak reti memberikan sebarang reaksi. Dan awak nak tahu apa Bo Tiak buat pada kelopak teratai kering itu?
Dia ambil, gaul bersama sos nam pla yang masam dan cili burung warna merah, dan dia kunyah-kunyah ngap ngap ngap telan. Alangkah dungu cara dia memuntahkan reaksi. Bo Tiak aduhai Bo Tiak.
^bersambung^
2 comments:
bo tiak kalau call orang, mesti sampai habis kredit.
kan. kan.
biasalah. dia miskin. kredit dia saje buli. padahal tak habis pun. pun. pun.
Post a Comment