00064
Untuk yang kali keberapa, aku mengeluh sendiri. Membiarkan desah resah yang berat, keluar dari perut dan rongga yang tertutup selama ini, melayang dan terus ke kaki-kaki sang malaikat di tapak langit. Memikirkan kebesokan hari, yang kadang-kadang entah apa ertinya, aku tak tahu dan tidak ngerti walaupun seulas cuma. Kebesokan hari, yang orang mahukan nyawa dunia, merasakan, besok ialah eterniti. Dan yang mahukan dua-dua secara seimbang seperti gizi, merasakan, besok mungkin mati. Paling-paling tidak, besok belum pasti.
Langit petang, menjangkau maghrib, gelap membencikan, meremang dan menegakkan bulu-bulu roma yang biasanya, sujud dan tunduk. Angin ungu meniup rambut yang tidak banyak. Dalam minit yang menyusup malam, aku masih berdiri dan aku rasakan, aku terlalu rapuh untuk ini. Membiarkan pasir dan air masin menjamah kaki. Membawa sejuk hingga ke kepala. Dan mengkhayalkan. Dan menghilangkan. Segala kecelakaan.
Aku memerhatikan burung. Selepas itu, aku alihlkan pandangan ke siput dan ketam. Anak-anak ketam yang sebesar kuku kelingking. Berlari galak ke arah lubang rumah, dan hilang. Yang membuat lubang rumah itu, mungkin ayah atau ibunya. Kalau ayah atau ibunya sudah mati di jemput Tuhan ke dasar, makanya, lubang rumah itu dibuat oleh pakcik atau mungkin juga jiran-jiran yang prihatin.
Selepas memerhatikan ketam, aku perhatikan kuda. Yang sebetulnya, bukan kuda sebenar, tetapi, corak gemawan gelap yang membentuk kuda. Yang sebetulnya juga, bukan corak gemawan gelap yang membentuk kuda, tapi binatang yang seperti kuda. Mungkin baru dicipta, dan belum diturunkan ke bumi. Oh Tuhan, bila kau kata 'Ya', siapa boleh lawan kerana zat kau. Kau Tuhan. Mengalahkan segala dewa-dewi bumi yang di iya kan oleh penganut-penganut lain.
Dan aku tidak kata mereka sesat ataupun murka kerana mempercayai dewa rezeki, dewa hujan, dewa langit, dewa cinta, dewa perang, dewa mati dan dewa apa segala macam dewa, kerana mereka manusia. Dan mereka berhak mencari jalan dan Tuhan dalam penghidupan mereka. Kalau ditakdirkan mata mereka terbuka dan hati mereka lapang, maka akan nampaklah mereka denai yang mereka rasa selamat untuk ditelusuri. Yang kita sebagai lahiriah dan batiniah sudah Muslim, berhak berlaku baik atas segala penciptaan makhluk. Walau Tuhan mencipa angin dan debu dan setaraf ( pasir halus, bau-bauan, hawa panas, khabar gembira bawaan angin ) dan sebagainya, kita mesti hormat. Walaupun babi atau anjing, kita wajib hormat.
Dan seketika, otak aku berselirat memikirkan hal-hal yang sudah lama tertinggal seperti mengaji selepas subuh, aku rasa gelap langsung.
Maka dengan kudrat Tuhan aku, dia belah pasir tempat aku berdiri. Seraya segala ketam-ketam dan siput dan burung-burung, semuanya lari. Yang aku nampak sebagai kuda bukan kuda di langit juga, terus memecut lari. Dan mengeluarkan bunyi heeeeekkk. Bunyi kuda. Walaupun dia gemawan pada asalnya.
Selang lima minit, pasir tempat aku berdiri, terbelah sempurna. Tidaklah sebesar belahan laut penangan tongkat Nabi Musa. Tidaklah selebar jalan raya yang dibina di Kuala Lumpur tercinta. Hinggakan penjara yang pada hakikatnya bahan sejarah dikatakan bukan bahan sejarah juga didebukan. Sedangkan tulang ikan yang tidak membawa makna pada logik akal manusia juga boleh diangkat menjadi bahan pra-sejarah, masakan bangunan yang tersergam lama boleh didebukan sebagai sampah. Oh Tuhan, lindungi Kuala Lumpur. Kuala Lumpu terlalu susah untuk dipredik.
Oh ya, tentang lubang pasir belahan Tuhan tempat aku berdiri, saiznya, cuma muat sebatang jasad. Tidak lama aku berfikir, memperakui lubang pasir itu untuk aku terjuni. Empat saat sebelas minit aku berfikir, dan aku terus terjun ke dalam lubang pasir. Maha dalam hingga gelap langsung. Tiada satu hembus cahaya yang sampai ke dasar. Dalam gelap malap, aku pandang langit yang tadinya baru maghrib, sudah menjadi isyak.
Mungkin ibu sudah panggil di dapur untuk makan nasi bersama.
Mungkin juga leptop aku sudah panggil untuk disentuh badannya.
.
.
Aku berjalan. Walau dalam gelap. Aku berjalan. Teraba-raba mencari dan mencari di manakah kanan. Di manakah kiri. Arah manakah hadapan. Arah manakah belakang. Semua itu menjadi satu persoalan yang boleh menjadi tema dalam sebuah penceritaan. Tema yang kukuh, menjamin satu penghayatan. Daripada ini, tidak salah untuk kita adaptasi dalam hidup yang besok belum pasti.
"Kau cari apa?"
Ah sial. Suara itu mengejutkan aku yang sedang teraba-raba mencari mana arah hadapan. Pemilik suara itu memegang tangan aku setelah dia tidak mendapat apa apa jawapan daripada aku. Tangan aku kasar. Tangan dia lagi kasar. Tangan aku besar. Tangan dia lagi besar. Yang sebenarnya, aku tidak dapat mengagak lagi yang adakah pemilik suara ini seorang 'orang' atau seekor 'makhluk' lain.
"Tentang gelap, jangan lah kau risau sangat. Sekejap lagi kau biasalah."
Belum sempat aku membalas jawapan "Kau cari apa?" tadi, sudah dia tambah dengan satu lagi penyataan bukan pertanyaan. Kali ini, satu penyataan nasihat dan tips untuk mencari arah.
"Di mana ini?"
"Tempat orang orang kecewa tapi mahukan aiskrim."
Memang aku tahu yang membaca pun terasa hendak tergelak. Tapi ini serius. Ini hal serius. Lubang gelap tempat aku terjun tadi ialah, tempat orang orang kecewa tapi mahukan aiskrim. Sial kau. Aku tak tipu. Jangan gelak.
"Oh ye ke. Kalau begitu. Kau siapa? Nama apa? Gimana boleh jatuh ke sini?"
Lebih lima jam aku dan dia bersembang. Dalam gelap. Aku bertanya macam macam tentang dia. Dan banyak persamaan dia dengan aku. Cuma waktu itu gelap, aku tidak nampak bagaimana sasa tubuhnya, bagaimana rupa wajahnya. Adakah mulia dan bercahaya. Adakah tubuhnya besar seperti batang nangka. Semua itu aku tak mampu. Aku tak mampu untuk predik bagaimana dia.
Dalam gelap, aku serba tidak mampu walaupun bernafas dengan kala yang normal.
Sekarang, aku meng agak, sudah jam lima setengah pagi. Ibu mesti sudah separuh gila merisaukan anak dia yang tidak pulang pulang. Ayah mesti sudah ke balai polis membuat laoran. Ini kerana, aku tidak pernah pulang malam. Lewat malam. Kecuali ada apa apa kecemasan seperti, terpaksa menghabsikan butir jagung emas di stesen KTM yang jauh dari rumah. Selain itu, seperti berfoya foya, bermain snuker, melihat rancangan bola di kedai, membawa kekasih melihat taman bunga, semua itu aku tidak pernah. Aku tidak pernah. Dan aku tidak mahu. Biarlah aku pulang lewat hanya kerana jagung emas di stesen KTM.
Aku terlelap. Aku sedar bila aku perasan, ada cahaya masuk. Kecil sungguh seperti lubang peniti kecilnya. Masuk melalui lubang di atas. Yang kelihatan sungguh kecil kerana aku berada di dalam lubang pasir yang sungguh dalam. Aku menggenyeh mata, dan mula melihat sekeliling. Mahu lihat di manakah 'orang' yang aku bersembang semalam.
Dan ruangan tempat aku bersembang semalam, sepertinya kosong tidak pernah diusik. Tiada tanda tanda ada sebarang hidupan di situ. Sudah diambil kira luas persegi kawasan, ya sungguh sempit dan sungguh terhad. Cuma muat untuk sebatang jasad sebesar aku.
Matahari makin garang. Dan cahya makin terang. Badan aku terasa mula melayang. Makin khayal aku dapat rasakan. Berpusing. Pusing seperti pengikut sufi yang berzikir sambil menari. Seperti roda ferris yang membawa kekasih kekasih melihat pelangi. Seperti bulatan kehidupan yang atas nya membawa nikmat sepertu surga dan bahagian bawah, pedihnya tidak terkata.
Aku sedar bila jari kaki aku digigit air laut sejuk. Pagi ini sejuk. Ketam ketam belum muncul. Begitu juga siput dan kerang. Ombak pagi sibuk mencium dahi para isteri. Mungkin hari ini mereka ada urusan penting di perairan yang lain. Dan mungkin jauh dari rumah mereka sendiri.
Dalam poket baju, ada satu surat. Bersampul elok. Tidak bersetem. Sedikit lembab kerana cuaca sejuk pagi. Surat itu tertulis.
"Di dalam kau, ada aku yang gelap langsung. Jangan terjun lagi atas nama Tuhan kerana kau berhak bernafas bersama ketam, kuda, dan angin petang ungu."
Aku lipat. Letak dalam poket kembali. Bergegas aku mengangkat punggung yang basah. Sakit pinggang aku yang masih tidak kebah, bertambah sakit akibat terbaring dan terjatuh. Aku berjalan ke pintu rumah.
Dan ibu, ayah, adik dan sekuntum bunga matahari, tunggu aku untuk bersarapan sekali.
^tamat^
1 comment:
sebentar lg aku baca,
Post a Comment