Ktm kuning biru pagi awal bulan, seperti biasa, sesak dan menakutkan. Penuh dan lambat seperti siput yang mengengsot nyot nyot. Dalamnya, ada yang berkot, bersinglet, bersari, berkain pelekat, bersongkok, berbut, berkemeja, berselipar dan berkasut sukan. Dalam banyak banyak itu, hanya ada dua bau. Harum dan busuk. Dalam banyak banyak itu, hanya ada dua tujuan. Terus dan berpatah.
Oleh kerana tidak mahu bertentangan mata dengan mata mata yang tidak tahu apa tujuannya menerkam muka yang harum dan celaka, aku pandang buku. Sekejap Pygmy, sekejap buku lain. Sekejap buku lain, sekejap Pygmy. Sekejap, aku hilang dalam gelap terowong KL Sentral. Pusat Kuala Lumpur. Dan masa itu, semua mata gelap. Yang cuma nampak, diri sendiri.
"Pakcik nak duduk?", aku tegur seorang pakcik yang pakai kopiah puteh yang sudah mahu bertukar menjadi cokulat. Pakai kemeja. Butang salah. Ada Surya dalam poket dada dia.
"Oh terima kasih nak."
Dia duduk. Angin dia lalu sebelah aku. Ya Tuhan. Bau dia busuk. Ya betul. Aku jujur dalam bab bab bau. Ada bau harum dan bau busuk. Tiada separa harum, tiada separa busuk. Itu sahaja. Ya betul lagi, dalam hidup ini, konteks kejujuran kau kena letak di bahagian hadapan sekali. Kalau dahulukan dengan agama atau adat tradisi, engkau tidak akan ke mana mana jikalau kejujuran kau letak di tempat ketiga. Di belakang punggung adat. Atau belakang tulang belakang agama.
Yang sebetulnya, jujur, agama, dan adat. Kau perlu letak sebaris. Dan biar mereka berjalan berpegangan tangan. Untuk menjadikan mereka lebih berisi, kau tambahlah politik, kes buang bayi, bunuh, kes pendatang, ekonomi dan sedikit fitnah fitnah.
Fitnah fitnah akan buat kau rasa matang. Dan memikirkan tentang usia yang emas ini. Yang sebetulnya, usia emas bukan usia bila umur kau mencecah tujuh puluh tahun, tapi bila usia kau mula mengenal erti puluh. Bukan sepuluh, tapi dua puluh. Bila usia kau di bogel kan daripada belasan, ketika itulah, usia emas. Kau kena sujud. Rahmat. Umur dua puluh itu rahmat.
"Midvaley. Midvaley."
Sampai. Buku aku simpan. Pen aku selit pada telinga. Aku mengalih pandangan daripada melihat tempat untuk berdiri, kepada melihat tempat duduk pakcik berkopiah cokulat tadi. Dia sudah hilang. Yang aku rasa, dia sudah sampai di destinasinya, sambil menyedut Surya dan mencari sisa rezeki orang kaya di Kuala Lumpur. Aku susun langkah, tidak mahu terlanggar dengan siapa siapa. Orang Kuala Lumpur baran baran.
Midvaley masih pagi. Masih sejuk. Masih ada peluh peluh pada bahagian tingkap tingkap kaca. Kabus pun masih sejuk. Bukan kabus daripada asap asap motor yang tidak berperikemanusiaan dan tidak kasihankan semua makhluk, tapi kabus tangisan alam. Kabus sejuk pagi semalam. Basah dan melembapkan.
Perempuan dan laki laki sibuk berjalan laju laju naik tangga satu satu.
"Ah bila lah nak sampai atas. Ah bila lah nak sampai atas." Semua berharap.
Dan.
Perempuan dan laki laki sibuk berjalan laju laju naik tangga satu satu seterusnya hingga sampai. Ada yang berskirt, berkurung, berjeans bergincu tebal, ber ber macam macam lagi. Bertudung, bertopi, bermaskara melampau, berkarat, ber ber macam macam lagi. Apa yang tiada di Kuala Lumpur sekarang? Apa yang tiada?
Kau.
Lagi?
Kau.
Kau ada, tapi kering. Kau kering di tempat dulu. Aku pergi jenguk tapak tempat kau kering. Masih berbekas. Bekas selipar hitam belang belang warna biru kuning merah jambu. Ada suatu hari, hari aku dan senja menangis, kau kata tak mahu pulang sampai air mata kau sempat aku hirup dan teliti bentuk nya. Bulat, panas dan tirus. Aku ada ketika itu. Ketika kau tak mahu pulang.
"Pulang lah, mana boleh macam ni." kata aku.
"Tak mahu. Aku ta' mau pulang. Aku nak duduk sini dengan kau." kau melawan.
"Tapi nanti mak kau risau. Itu ini. Kan susah. Pulang lah."
Kau pun membatu. Kau buat buat jadi batu. Kaki kau bergabung dengan lantai. Kau keras. Tidak bergerak. Jantung kau masih berdegup kencang. Tapi kau keras. Tidak mahu pulang. Berlalu dua ktm, kau masih tidak mahu pulang. Aku puas tarik, angkat, tolak, kau tidak berganjak ganjak. Kau tetap kau. Kau tetap lebih. Kau tetap sama seperti yang aku kenal tahun lalu. Tetap kau. Ada aku tiup mata kau suruh kau bergerak dan respon, tapi kau tetap membatu. Kau tetap sama. Tetap kau.
Aku lapar dan aku tahu kau juga. Aku jadi busuk dan aku tahu kau juga sama. Dan aku mahu pulang, tapi kau tetap kau. Aku risaukan makcik yang mahu aku menjaga anak anaknya di rumah. Oleh hal itu, aku mesti pulang. Tapi kau tak mahu pulang. Tetap kau. Akhir akhir, aku ambil keputusan untuk pulang. Aku tinggalkan kau dengan satu hembus nafas ke telinga. Sebagai azimat. Aku bukan mahu tinggal kau, tapi, kau yang berkeras tidak mahu pulang.
Selang hari hari kau tak mahu pulang, lama aku tidak ke Midvaley. Kerana aku lupa cara untuk ke sana. Tanpa kau.
Ada kawan aku kata, kau masih di situ. Jari jari kau dimamah semut sikit sikit. Rambut kau makin terurai. Mungkin diusik orang orang tidak berumah dan yang lalu lalang. Selipar kau sudah hilang. Yang ada, cuma kau, baju dan seluar. Itu kawan aku nombor satu kata.
Kawan yang nombor dua kata, kau makin mencair. Makin hilang rupa manusia. Makin menjadi seperti tugu yang kena hujan asid Kuala Lumpur. Kuku kau tanggal. Bibir kau turun. Jatuh ke lutut. Sendi sendi kau longgar. Ah tragis rupa kau. Apa aku boleh buat. Apa aku boleh buat.
Hari hari engkau membeku menjadi seperti tugu/statue, aku makin gila. Makan aku hilang selera. Minum aku bagai tiada makna. Siang bagai malam. Malam bagai tengah hari. Apa pun tak kena. Kanan jadi tengah. Kiri jadi bawah. Atas jadi belakang. Semua jadi serba, cacamarba.
Lama aku begitu. Jadi gila. Kau pun lama mengering. Dan makin hari, kau makin hilang dibawa angin kencang belahan Ktm. Yang tinggal, tapak kau. Dan hari ini, di tapak kau lah aku berdiri. Ada juga aku cari sisa kuku jari manis kau, tapi tak jumpa. Apa pun tiada walau sehelai rambut.
Kerana aku gilakan kau, aku pula berkeputusan tidak mahu pulang. Beg aku campak di tepi. Buku Pygmy dan pensel aku terjatuh. Ada pakcik sepak. Fon aku campak ke tengah rel. Biar hancur. Lalu, aku pejam mata. Berdoa untuk mengering. Tujuan utama aku, mahu ketemu dengan kau, walau dalam bentuk debu sekalipun.
* lagu sedap ada shubidup shubidup. Selamat berbuka orang hensem. *
^tamat^
4 comments:
ahhhh tragisnyaa.
:'(
tragis kan. lain kali, jangan tak mahu pulang. kalau tak mau gak, tunggu nanti.
ta' mau.
tak ada semut pon.
mana kau tahu tak ada semut. masa tu, kau punya pikiran, ada atas rel ketapi. kau tak nampak semut, aku nampak. aku tahu betapa lama kau nak duduk situ kalau kau mampu.
mau.
Post a Comment