Saturday, January 29, 2011

BUTANGKAN (2)

Butang DUA


“Ke garisan.. Sediaa… Mulaaa……”

Pengadil menembak ke arah perut langit yang buncit dengan air. Ya ampun, tidak pula langit pukul tiga petang itu mengaduh sakit. “Mungkin kerana dia berpuasa”, aku membuat taakulan awal sambil menyeka peluh di dada dahi yang semakin galak menitis hingga ke hidung. Awal taakulan aku seawal Amin meminta hanistar sebelum rambutnya disisir bersama minyak zaitun. Jikalau berpuasa, kesabaran perlu dijunjung dan ditimang manja sehinggalah Maghrib. Selepas Maghrib hingga ke Maghrib esok lusa, harapnya elok-elok.

Hari ini aku menyertai pertandingan lari-lari. Undang-undangnya mudah sekali. Undang-undang pertama (jika yang pertama, maka perlu kau yang membaca ambil perhatian dengan dalam sedalam-dalamnya), berlari dengan velositi yang tetap. Kalau laju, teruskan laju hingga ke garisan tempat pengadil memegang jam randik. Kalau mahu lambat, tidak mengapa. Teruskan lambat hingga ke garisan tempat pengadil memegang jam randik.

Dalam pertandingan lari-lari yang buat pertama kali aku sertai ini, asselerasi tidak penting. Tidak perlu memecut. Tidak perlu memotong yang lain. Tidak perlu memeluhkan dahi dan ketiak (kecuali jika panas) untuk menjadi johan. Johan dikira berdasarkan tiada kecederaan di lutut, siku dan ke atas, dan dahi. Cedera sifar.

Undang-undang kedua, atlet (aku) tidak boleh berpatah balik dan perlu kekal hidup. Kerana jarak, masa, dan seluruh darjah keselamatan, bukan hak pengadil. Sikit pun bukan hak dia. Oh ya, lagi satu sebelum ke butang ke tiga, aku ingin khabarkan, pertandingan lari-lari ini, disiarkan secara langsung di semua rangkaian tivi berwarna.


.

No comments: