Saya ada kenal seorang yang Super. Ini rahsia kita. Kiranya, kalau awak tahu tentang kisah ini, jangan dihebah-hebahkan kepada sesiapa. Termasuk kepada ibu atau mak lang atau kawan atau siapa-siapa. Ingat. Ini rahsia kita. Sewaktu makan, berjalan, duduk, mengaji atau berlari, ingat, jangan kisahkan pada sesiapa. Ini rahsia kita. Saya ada kenal seorang yang Super.
Saya bercerita tentang siapa tadi? Oh ya, seorang yang Super. Maaflah. Saya ingat tak ingat. Lebih-lebih lagi jikalau cuaca sejuk dan matahari merajuk tak mahu keluar. Saya tak lah kata saya benci jikalau hari mendung. Saya tak lah kata saya bosan jikalau hari berkabus. Tidak. Tidak. Sedikit pun ini tidak saya salahkan mana-mana pihak. Ini takdir. Kata dia si Super, kita kena gagah tetapi ada syaratnya dan sentiasa kita kena patuh syaratnya.
Oke. Cukup tentang dia yang Super? Apa? Awak kata saya masih tak bercerita tentang seorang yang Super? Itu di atas saya sudah ceritakan serba sedikit. Saya tak ceritakan kesemuanya kerana sudah saya katakan, ini rahsia kita. Rahsia saya dan Super. Saya tamak.
Oke. Kali ini awak bertanya tentang kuasa apa yang dia boleh tonjolkan? Begitu? Awak mahu lihat kehebatan si Super? Oke cuba bayangkan. Awak seorang yang tidak berketerampilan kemas dan hebat seperti Jack Dawson (bukan pemain ragbi). Awak tidak pernah bersiul sewaktu berjalan di stesen keretapi. Awak tak pernah merasakan yang esok perlu dilalui dengan penuh kesegaran tanpa cacat cela. Tiba-tiba, awak dapat khabar daripada si Super itu sendiri, yang mengatakan, awak terpilih. Bukan untuk diujibakat. Tetapi terus ke dalam akademi Super.
Wow. Awak akan jerit 'Wow'. Kalau awak Muslim, awak akan syukur. Begitu juga kalau awak beragama Kristus Jesus, awak akan syukur. Serupa juga untuk semua manusia yang patuh dalam mana-mana ajaran agama. Awak akan berterima kasih pada Tuhan awak. Kerana awak merasakan, ini satu perkara asas yang perlu digalas setahan mungkin.
Bayangkan, awak diubah menjadi kacak seperti Jack Dawson (pelakon cerita kapal besar), awak akan bersiul dengan yakin seperti watak kartun yang kaya dan berperut gendut bertopi tinggi, awak akan sentiasa berfikiran positif untuk hari-hari mendatang. Betapa si Super berjaya mengubah awak. Sungguh hebat. Tetapi, lain-lain sifat yang masih ada cela, awak kena lah ubah sendiri secara dikit-dikit. Itu baru lah caranya untuk menjadi manusia. Dengan membantu diri sendiri apabila dibantu orang. Kalau tidak, awak tak usah bayangkan dan tidur lah sepuasnya.
Kerana saya tamak, saya tak mahu menulis panjang tentang kehebatan si Super. Ingat, ini rahsia kita. Kiranya, kalau awak tahu tentang kisah ini, jangan dihebah-hebahkan kepada sesiapa. Termasuk kepada ibu atau mak lang atau kawan atau siapa-siapa. Ingat. Ini rahsia kita. Sewaktu makan, berjalan, duduk, mengaji atau berlari, ingat, jangan kisahkan pada sesiapa. Ini rahsia kita. Saya ada kenal seorang yang Super.
.
No comments:
Post a Comment