Keruh sikit-sikit dan tidak ada siapa pun yang peduli akan keruhnya dia. Ikan pun tak berenang laju kerana likat air. Jadi, ikan berenang slow-slow. Berudu berenang lagi laju. Dia pintas ikan dan laju berpatah balik. Rupanya, dia main kejar-kejar bersama dengan berpuluh ratus lagi adik beradiknya yang lain. Siapa abang siapa adik, kita tak boleh persoal kerana ibunya pun tak berapa pasti. Aku, duduk di hilir. Aku perhatikan ikan yang berenang slow-slow tadi sehinggalah, dia terbalik. Terapung.
Sisiknya yang hijau-hijau berkilau disentuh cahaya matahari, bertukar puteh dan memucat. Dia sudah mati. Insangnya tak menapis lagi antara air dan oksigen. Lemas dalam lemas. Matanya bulat. Puteh semuanya. Dia sudah mati.
Sementara berudu yang bermain kejar-kejar tadi, beratus sudah hilang kerana sesat jalan dan ditelan burung lapar. Ada yang tinggal kepala sahaja. Ada yang mati terhantuk batu kerana laju sangat berenang. Lari daripada paruh burung yang mencucuk. Ada yang terlupa yang dia berudu, dan berlagak seperti ikan. Berenang di dalam komuniti ikan dan dimakan. Ada yang tak sabar menjadi katak. Berlagak cuba menyambar lalat, tetapi dia disambar ikan lain. Pokoknya, di hilir ini seperti medan perang tempat ikan dan berudu berlumba siapa mati dahulu.
Ada seekor berudu, tinggal dia yang selamat. Dia berenang slow melepasi arwah ikan bersisik hijau berkilau. Dia menangis di tepi batu. Aku tanya kenapa. Dia kata, "Aku tak layak menjadi seekor katak." Aku bertanya lagi, "Kenapa?". Kata dia, kerana dia tak reti melompat lagi.
Aku senyum dan mencedoknya. Dia terkapai dan bertanya di mana aku mahu bawakan dia. Aku kata, "Engkau istimewa. Tempat kau bukan bersama yang lain. Engkau aku akan bela sehingga pandai melompat setinggi pohon nyiur." Aku angkat punggung, dan pergi meninggalkan medan di hilir.
Dia kata, "Alhamdulillah." Sikit-sikit, dada dia nampak lapang.
.
No comments:
Post a Comment