Showing posts with label SAHUKA. Show all posts
Showing posts with label SAHUKA. Show all posts

Tuesday, August 23, 2011

KOLEKSI SAHUKA

.4.

Aku mengaku aku seorang yang tidak konsisten. Kadang-kadang aku akan meletakkan sesuatu perkara itu dalam kepentingan yang paling tinggi, dan kadang juga, aku tertinggal akannya di belakang aku (tetapi masih tetap tertambat kukuh) kerana aku ‘tidak berkesempatan’. Adakah ‘tidak berkesempatan’ itu boleh dijadikan alasan? Aku tidak pasti tapi, mari kita halusi sama-sama.

‘Tidak berkesempatan’ aku bukan sama sekali kerana aku sibuk dan tiada masa untuk menulis dan menaip. Ia juga bukan membawa makna, aku seronok bergelak ketawa dengan orang sekeliling tanpa ada masa untuk kau. Jauh sekali aku sibuk keluar berjoli-joli. Aku ingin hidup sehidupnya dalam norma hari yang seperti kebiasaan dan di setiap dinding norma hari yang seperti kebiasaan, aku ingin sibuk melukis urat-urat dari kaki kau, hingga ke lapang dahi kau.

Simpulnya, aku ‘tidak berkesempatan’ untuk menaip dan mencoret pada hari-hari biasa, tetapi aku sentiasa sempat dan mahu belajar melukis satu mural, yang berupa seratus persen sekali, akan kau, yang sempurna sekali.

Jam tujuh dua puluh, hari ini aku memaksa diri aku untuk berhadapan dengan takdir cinta pertama kali yang wangi dan harum, iaitu, cempedak goreng. Selamat berbuka sekelian orang dan haiwan-haiwan.


.

Friday, August 19, 2011

KOLEKSI SAHUKA

.3.

Aku cuba berdiri sendiri tanpa melihat kaki. Tetapi, ketidakstabilan aku selalu membawa kepada satu ucapan yang meleret-leret yang kembali membuahkan satu kaki ekstra. Hari ini tidak ada yang istimewa untuk berbuka. Tetapi syukur kerana masih mampu berpuasa, lebih gagah daripada semalam. Harapnya esok, aku mampu melipat baju-baju di ampaian yang kau sidai sebelum kau berkenderaan ke ofis. Jam tujuh minit sepuluh. Lagu di dalam laptop berbunyi “And you could be my summer. And you could be my shining star. And you could be the one.” Azan sebentar lagi, aku ingin dukung kau terus ke ampaian.

Puasa 11.


.

Sunday, August 14, 2011

KOLEKSI SAHUKA

.2.

Berbuka petang tanpa perkara manis-manis, tidak seronok sebenarnya. Jadi jam tujuh dua puluh tiga tadi, aku bercadang untuk membeli kuih, selepas aku memenuhkan lagi memori komputer riba aku yang sedia lambat dengan data program untuk kerja-kerja membuat lot dan sempadan. Jadi dia menjadi bertambah lambat dan hal ini membuatkan semakin sayanglah aku pada dia.

Tidak berbelah bagi. Bagi aku, nyawa dia ialah, amanah Tuhan pada aku untuk menjaga dengan seratus persen ketelitian. Aku keluar dari bilik jam tujuh tiga puluh. Matahari sudah mahu pulang ketemu anak-anak. Orang semakin surut di bazaar yang terletak tidak jauh dari tempat aku solat dan tidur. Sebelum aku membeli perkara manis-manis, aku teringatkan kuih yang selalu diwarnakan hijau dan digabung rapat permukaan atasnya (mungkin juga itu bawahnya) dengan kelapa puteh. Ianya manis. Semanis hidup ini.

Hidup yang membelengaskan. Seperti liur budak-budak yang pertama kali disuakan lolipop. Petang ini, manis. Dan malamnya, damai sekali sekala tanpa terawih di masjid, tetapi berseruling di kamar.


.

KOLEKSI SAHUKA

.1.

Mencari kedamaian dalam menaip dan membuat satu refleksi langsung kepada diri sendiri ialah salah satu cara bagaimana saya melatih diri untuk menjadi seorang adiwira. Mencari kedamaian dalam menyusun huruf-huruf hingga terbina walau sekecil sebuah perenggan mini kata-kata bernoktah beberapa ayat, seperti menghirup segelas air kosong yang sejuk.

Gelasnya berpeluh menitis mencecah lantai atau meja. Terpulang di mana letaknya cawan. Bergantung kepada tahap sejuknya air kosong. Ialah bagaimana kedamaian akan tercapai. Bagi saya, kertas ialah lapangan ais tempat saya meluncur. Pen, pensel atau kibod, ialah kaki kembar saya yang meluncur dengan penuh kestabilan.

Dan otak saya ialah mata kembar saya yang bergolek-golek di dalam soket mencari, di mana lenkungan paling hebat untuk saya beraksi. Mencapai sahuka tujuh, jam tujuh dua puluh tujuh, saya berfikir tentang kenikmatan saya untuk berfikir tanpa pengaruh kawan

Mencapai jam itu juga, saya baru perasan yang apabila saya semakin menjadi seorang laki-laki, saya perlu lebih berpegang kukuh dan percaya kepada, adiwira petang ini. Diri sendiri.


.