Monday, June 21, 2010

ROSNAH B.O.B ( BIKIN ORANG BELIT) AKHIR

00055



Rosnah berpusing pusing mencari tempat menjual ikan yang betul-betul ikan. Bukan kerana segar dek ais. Bukan kerana kurang hanyir dek diletak garam. Dia mahu cari ikan segar. Bukan yang lembek yang kalau dibuat umpan pun, dimuntahkan kembali si ikan dalam lautan. Selepas dua tiga kali dia belek belek insang ikan, dia terbalik balik kan badan ikan, dia sudah jumpa tempat yang betul untuk membeli ikan.

"Adik, selar kuning ni berapa ringgit sekilo?"

"Ambik je lah Kak Rosnah, saya bagi free. Macam biasa la kan." selamba seperti hari hari lain si peniaga itu menjawab.

"Sebelum ni aku beli free ke? Kau fikir aku miskin ke? Kau fikir aku minta sedekah? Celaka kau.. Sial. Kau fikir kau cukup kaya sindir sindir aku macam ni? Haaah..!!"

Marah betul Rosnah. Sungguh sungguh marah. Meruap ruap api marahnya. Bagai daun kering yang menjilat puntung rokok dan diberi seteguk minyak tanah. Dan ketika itu juga, muka peniaga tadi bertukar merah. Malu. Segan.

Sungguh, sebelum ini pun, Rosnah hanya ambil free. Peniaga itu tahu hidup Rosnah susah. Peniaga itu tahu suaminya hilang di bawa teksi malam dan tidak pulang pulang. Peniaga itu tahu Rosnah bersendirian. Peniaga itu tahu Rosnah selalu, selalu sangat bertutur seorangan. Kadang kadang, bila diintai dari tingkap dapur, dengan ikan yang sedang disiang juga, Rosnah bersembang galak.

Dia bagi free niatnya bukan untuk menyindir apa lagi menghina. Dia cuma memasang niat untuk bersedekah. Mahu buat jambatan kukuh untuk ke sorga. Mahu tepi tepi jambatannya ada pohon kemboja putih. Yang setiap kali menapak, akan gugur satu kelopak mewangi. Dia cuma mahu itu. Mahu bersedekah.

Tapi Rosnah, dia pelupa. Ada orang kata dia gila. Orang kata.

Di pasar pagi itu, dia mengamuk. Dia mencapai parang. Parang kepunyaan peniaga petai atas motor. Dia mengacah acah orang lalu lalang dengan parang. Dia panik. Dia gersang. Dia tidak tahu mana hujung fikir, mana pangkal akal.

Ada dua polis berlari anak datang.

Sekarang serius.

"Puan, turunkan senjata awak. Turunkan senjata awak. Ini satu arahan."

"Ahhh. Engkau semua gila. Engkau fikir aku mahu cincang engkau semua? Engkau semua gila. Aku tahu, dalam kotak ais warna oren yang engkau semua ada bawah gerai, ada suami aku dalamnya. Ada suami aku dalamnya. Aku tahu engkau semua cemburu dengan aku. Aku tahu. Aku tahu. Ha ha ha ha."

"Puan, kami perlu berkeras kalau puan tidak menyerahkan senjata puan." separa menjerit.

"Ahhh, nah. Ambil kau." Rosnah campak parang, kena kepala polis. Tertetak. Mati nyawa ikan. Mati. Seorang polis mati. Seorang mati.


----------

Pagi itu, pasar jadi tempat darah jatuh. Darah tergaul sekali dengan air air ikan dan air sayur atas tar. Darah hanyir manusia, bergabung dengan darah ikan dan darah daging lembu. Pasar jadi riuh. Polis datang dengan pita plastik warna kuning. Ambulans pun datang. Tadi, bau belerang daripada peluru 9mm menusuk hidung warga yang lalu lalang di tempat kejadian. Rosnah terbaring.

Rosnah mati ditembak sebelum sempat mencapai lagi satu bilah parang. Kata orang, ketika dia ditembak, suaminya ada di situ. Membeli tempe dengan isteri baru. Kata orang.

Tapi, yang pasti, Rosnah telah mati. Di tangan, ada sebungkus ikan selar kuning. Mata masih segar dan cerah ikan ikan nya.

Burung burung gagak nampak galak. Dan pagi itu, pasar itu sunyi. Bagai kubur. Tempe semalam di rumah, masih ada. Biarlah berkulat dan bercendawan dan akhir akhir, menjadi habuk. Bersama mati.

Selamat pergi Rosnah. Harap kau kembali dengan jasad baru.
Al Fatihah untuk Rosnah Bob.


**


* Menurut sumber, suami Rosnah kaki botol. Ada perempuan lain. Dan pada awal perkahwinan lagi, dia sudah ada perempuan lain. Dia tidak setia pada Rosnah. Dia kata dia miskin dan memandu teksi. Padahal, dia ada kedai runcit di kampung lain. Jauh sikit dari kampung Rosnah. Dia saja kata dia tiada duit mahu bawa Rosnah ke hospital semasa mengandung anak pertama. Dia saja menyalahkan diri dan lari dari rumah. Keguguran itu dijadikannya tiket untuk lari dari rumah dan kembali ke isterinya yang lagi satu.

Sesungguhnya, maka tempe pun akan berdoa atas kecelakaan suaminya. Dan pasar itu menjadi saksi, cinta Rosnah pada suaminya.




^tamat^

9 comments:

fizafreak said...

aaa... kesiannya rosnah bob...

cinta memang buat orang gila.
dan orang gila juga punya cinta.
tapi ironinya,
cinta dan gila,
gila dan cinta,
tak boleh jalan seiring.
nanti jadilah macam rosnah bob. mati.
mungkin dalam hati rosnah bob tak seharusnya ada cinta.
baru tak gila.
mungkinlah. =p

gReeN iS pEAce said...

waduh2..begini pengakhiran rosnah..T_T

kerana cinta dia jadi begitu..kasihan..

akiraqeela said...

takutnye citer ni weyhhh

Afe Oth said...

like first comment. ;)


tapi saya,tetap gila.lala.

aliaa said...

ohh gila rupanya.
kesian dia.
:(

Anonymous said...

macam kisah benar.

menyayat hati weh :'(

hnshzk said...

kenapa macam ni.
sadis.

hurm,terlalu cinta.

maksudnya,cinta tu sedara kelajuan la..
sebab kelajuan membunuh
cinta pun membunuh.

tapi ade kemungkinan suami dia kena culik dengan puteri bunian.Rosnah jadi gila.jadi cinta dia bukan atas satu kebohongan.adapun cerita-cerita di hujung perenggan adalah gossip-gossip hangat mak cik kampung lain..yang dahagakan publisiti seperti gossip girl yang sekali air bah,sekali pantai berubah...

puding roti said...

ya Allah...kesiannya rosnah... :'( tak de ke ikon nangis bergerak2? nak letak empat ketul. uwa!!

juliana_kaede said...

=( sedih