Tuesday, August 24, 2010

BOO CARI GULA GULA SEMALAM.

.



Pagi ini, Boo tidak bangkit bangkit dari bantal empuk. Tidurnya lena tanpa Randall. Tidurnya tiada mimpi mimpi jahat tanpa Randall. Sejuk sungguh walaupun secara keseluruhannya, badan Boo sudah ditutup dilitup dengan gebar tebal. Rambutnya yang halus, melekat di pipi dan meninggalkan bekas. Bekas bekas tandanya, dia tidur lena, tanpa mengigau. Jam loceng digital menunjukkan pukul empat lima puluh pagi. Tepat empat lima puluh pagi. Tapi, Sully masih di dapur.

Ketung ketang ketung ketang. Sudu besi dan cawan kaca berlaga.

Sully buat kopi. Malam ini sudah mencapai pagi. Gelap tadi, sudah mencelik sikit sikit irisnya mencari cahya mentari. Tapi mata Sully, masih degil untuk tutup dan lena. Dia buka radio, lagu Gabby. "Ohh. Ini penyanyi asalnya". Kata Sully dalam hati. Oleh kerana lagu itu lagu insan insan patah hati, Sully tukar siaran radio. Lima kali tukar. Lima kali pusing butang 'tuning', tapi semuanya hambar.

Yang ada cuma bunyi dj dj radio berdengkur. Tiduran di konti. Makan gaji buta. Dia fikir, pagi pagi semua tidur agaknya. Pak bilal mestilah bertahajud. Pelajar pelajar mestilah membaca. Buruh buruh kasar masih ada yang mengangkat bata dan meratakan tar. Ibu ibu mungkin ada yang bangun menetekkan bayi yang lapar dahaga. Ramai lagi yang tak tidur. Aduhai.

Sully menyisip kopi dikit dikit. Pahit dan panas. Dan menjagakan. Dan mendamaikan seperti bunyian petikan gambus.

Dia capai muvo slim dalam laci. Ambil fon telinga, dan cocok dalam telinga nya. Bulu bulu halus dia selak untuk mencapai telinga. Dia buka folder yang paling lama dalam mp3 nya. Paling lama. Mencapai bertahun. Dan dia pasang. Tekan butang main.

Pagi ini, Sully dengar lagu lagu inggeris. Sampai terlena. Tanpa bersahur. Ya, Sully puasa.

Esok pun datang. Bawa matahari dan embun yang sama sejak azali. Dan janji Tuhan hari ini, siapa yang bangun awal, rezekinya akan dimurahkan dan dipermudahkan harinya. Tuhan tak tipu. Itu bukan zatnya.

Boo bangun awal.

Waktu Pak bilal melaungkan 'Haiya A'lal Falah' dua kali, Boo jaga.

Mesti Boo akan terkejut tengok cawan kopi di atas meja dan Sully tidur atas kerusi. Dan mesti Boo terkejut lagi bila melihat 'palylist' dalam mp3 Sully ialah lagu lagu inggeris. Tidak seperti selalu iaitu lagu lagu Melayu (M.Nasir, Ramli Sarip, Kopratasa dan artis lain sikit) dan Indonesia (Broery, Dewa dan artis lain sikit). Ada satu dua, lagu Siam (Ying Tithikarn), musik gamelan dan ghazal Johor.

Apa pun, selamat pagi Sully, Boo ucap pada telinga

Boo cium pipi Sully sebelum terbongkok bongkok mencari gula gula semalam.



^tamat^

No comments: