Thursday, February 03, 2011

DUDUK DAN CALIT DI PIPI

.

"Lihat bagaimana mereka bersinar pada kau."

Pesawat kos rendah semakin beredar turun setingkat demi setingkat dari langit yang tidak bosan dengan warna hitam. Semua penumpang diarah oleh pramugari untuk membetulkan tempat duduk kepada kedudukan asal. Yang tidur hingga menitis liur (sapu di baju, beg, atau pipi orang sebelah), telah terjaga kerana kalut-kalut orang sekeliling. Bunyi kelip kacip 'cip-cap' tali pinggang keledar dipasang semula, menyedarkan Amin. Bunyi budak menangis kerana pampers basah (pada pendapat saya), mengejutkan Amin dan dia terjaga. Matanya digenyeh rakus. Mata yang sepet kerana kurang tidur, sukar untuk dibulatkan kembali. Kecualilah kalau ada malaikat turun dan bawa doanya yang makbul. Dan itu mustahil kerana dia tiada mukjizat seperti nabi-nabi. Bau coklat Mars yang manis hingga memedihkan tekak dan kekacang masih lekat di bibir (gigi, gusi, lidah) nya. Mungkin kerana dia terlupa untuk menggosok gigi. Atau ada sebab lain? Dia lupa. Bila tidur, dia jadi lupa. Bila lupa, dia tidur. Dan jaga, dia ingat. Begitulah. Mimpi akan mengingatkan dan tidur itu satu permulaan.

"Lihat bagaimana mereka bersinar pada kau."

Orang beransur turun. Jam pukul sepuluh empat puluh malam. Tepat pada jamnya yang ada calar-calar, kurang sepuluh minit pada jam orang lain. Amin mencapai novel Inggeris yang dia selit di hadapan tempat duduk, dan berdiri. Dia juga ingin turun. Ayah mungkin sudah menunggu di luar bersama kawannya. Ibu mungkin sudah tidur di rumah. Tetapi semestinya sudah tidur. Begitu juga kakak dan adik. Amin lantas berdiri membetulkan baju belang hitam merah jambu, membetulkan urat pinggul yang terbeku dan ketika itulah, ketika itulah baru dia sedar yang mimpinya tadi masih tidak lengkap. Ayaaa.

"Lihat bagaimana mereka bersinar pada kau."

Mimpinya terputus, tiada penamat, dan tergantung. Terputus. Bagai elektrik yang terputus kerana dijerut hujan lebat guruh garang di kawasan taman perumahan. Tiada penamat. Bagai sang pencinta menuntut ilmu di mana-mana gedung. Tergantung. Bagai banduan-banduan akhir di penjara. Semua ini gara-gara pramugari, tali pinggang keledar, dan budak menangis. Semua ini gara-gara mereka dan sekeliling. Amin langsung tidak berpuas hati dan dia kembali duduk. Menghempas punggung. Tidak mencebik dan tidak tersenyum.

"Lihat bagaimana mereka bersinar pada kau."

Penerbangan seterusnya, ke satu tempat yang namanya pelik. Andhra apa entah. Semestinya India atau timur tengah. Amin tidak kira. Dia kembali duduk kemas-kemas. Pasang kembali tali pinggang keledar. Membetulkan posisi punggung. Sekeliling memandang dengan rasa 'pedulikan'. Pramugari menjeling pelik tetapi membenarkan. Amin ingin sambung mimpinya tadi yang tergantung. Dia tutup mata rapat-rapat. Kali ini, dia mahu mimpinya berserta dengan musik iringan. Dia pun bernyanyi sendiri perlahan-lahan. Dan membayangkan dirinya juga ada di tepi laut. Seperti Garret dan Theresa.

"Lihat bagaimana mereka bersinar pada kau."

Suara sekeliling semakin perlahan. Amin tenggelam dalam mimpinya sendiri. Mulutnya terkumat-kamit..

"Lihat bagaimana mereka bersinar pada kau."


Destinasi seterusnya ; Andhra Pradesh, India.
Musik iringan ; Yellow.

.

2 comments:

Afe Oth said...

ada apa dekat andhra pradesh?

yeloyeloyelotiak.

fatah85 said...

ada masalodeh. :P nyum nyum.