.

(yang ada bintanglah yang paling menyegarkan walaupun perisanya sama)
Tentang tajuk ; Ini bukan berkenaan dalam tivi yang PM kata, "Media perlu bersikap profesional untuk bersemuka dengan para ekstremis." Saya tak mahu hurai tentang PM panjang-panjang kerana itu tugas orang yang banyak membaca buku dan banyak tahu tentang selok belok perundangan negara.
Tapi tentang 'Yang Saya Nampak Dan Dengar, Semua Porah Kecuali Yang Saya Baca' ialah berkenaan Amin dan Anum. Mereka ialah antara buruh kepada Tuhan yang bertuah dan dikelilingi berjuta buruh-buruh lain. Sekarang mencapai awal tahun dua ribu sebelas, tetapi penyakit mata dan mulut tetap menular. Nasib baik lah, Amin dan Anum, terlindung. Dan sehat mereka alhamdulillah.
Amin lelaki. Anum perempuan. Anum indah hatinya dan jarinya. Ada anting-anting yang berayun jika dia menggeleng kepala dan cakap "Tamau mandi tamau mandi." Amin pula tak kacak. Tapi pandai bercakap tentang benda indah-indah. Contohnya, pelangi yang ada berjuta warna dan berbilion lapis (ulangan seperti papa dalam cerita di bawah). Amin tak suka bercerita tentang darah atau luka. Kerana dia tahu, Tuhan pun tidak mampu mengawal air mata takut/gerun kecuali dirinya sendiri.
Rumah mereka terletak di sebuah pulau. Walaupun pulau, jangan lah berfikir tentang fasiliti yang rendah dan jalan yang masih tidak berturap. Mereka ada kemudahan yang cukup. Cuma kadang-kadang, bila jam lapan, tivi porah akan tidak mencukupkan semua fasiliti mereka. Mereka jadi miskin. Porah. Mereka jadi tidak bahagia. Porah. Dan Amin mula cakap porah porah porah sampai mereka tidur. Berdengkur.
Amin nelayan. Pagi ke laut mencari hasil. Petang pulang mencari Anum. Mahu makan nasi bersama Anum. Lagi dia suka jika Anum dapat membancuh segelas sirap campur oren dan letak dua tiga ketul ais. Ah segarnya kata Amin. Anum pula, ambil upah mencabut kepala bilis. Dia suka bilis. Lagi halus, lagi berkualiti, lagi Anum suka. Walaupun kerja Anum sungguh melenguhkan, dia rela. Demi untuk menyambut Amin petang nanti di tepi pantai, Anum sanggup mencabut berbakul-bakul kepala bilis. Bila penat, Anum akan berbaring.
Pandang langit yang bila gelap, mula lah Anum risau dan berfikir berjuta macam. Ada sekali, bila langit menjadi gelap, Anum terfikir yang ada sotong besar merah gergasi garang marah membencikan akan makan Amin yang sedang berusaha menarik pukat yang berat di laut. Tapi semua fikir Anum, meleset. Hingga sekarang, tiada lagi sotong besar merah gergasi garang marah membencikan akan makan Amin.
Petang ini, lagi sekali langit menjadi gelap. Awal gelap. Amin tidak pulang lagi. Padahal jam tidak lagi menunjukkan tanda-tanda yang maghrib akan sampai dan bilal akan melaung-laung azan menyuruh anak-anak masuk ke dalam rumah. Ayah-ayah berhenti bersembang tentang kerja ofis dan perniagaan bersama kawan di luar rumah. Ibu-ibu berhenti berbincang tentang lauk untuk esok di belakang dapur. Di mana Amin. Kata Anum. Masih di lautkah dia atau sudah di persisiran. Risau Anum. Sejuk kah Amin. Basah kah Amin. Anum terus-terusan risau.
Bakul bilis Anum angkat. Letak di bawah pondok tempat teduh. Bakul saiznya tidak besar kerana Amin sengaja mencari bakul kecil. Sekadar selebar sepemeluk budak enam tahun. Dia tak mahu Anum angkat benda berat-berat. Anum akur dalam senyum.
Angin makin kuat menghembus. Bruuuuurrrrr. Bruuuuurrrrr. Mengayun-ayunkan lagi sekali anting-anting Anum. Anum meramas jari-jemarinya sendiri. Amin masih tidak pulang dan ini sungguh menggusarkan rambut, pipi, bahu, dagu, lutut dan sendi-sendi Anum..
*bersambung*
.
1 comment:
Cepat cepat sambung.
Post a Comment